Search This Blog

Friday, July 16, 2010

Penceroboh bogel lumur sabun, sos ke muka mangsa

KUALA TERENGGANU: Seorang penjenayah bertindak pelik untuk mengelak dikenali apabila bukan saja membawa senjata tajam ketika memecah masuk sebuah rumah, sebaliknya turut menggunakan sos dan sabun untuk dilumur ke muka mangsa.
Lelaki itu memecah masuk rumah mangsa dalam keadaan bogel dan hanya menutup mukanya dengan kain sebelum melumurkan sos dan sabun ke muka mangsa yang tidur.
Kejadian itu berlaku ke atas seorang suri rumah berusia 34 tahun yang turut mendakwa nyaris dirogol selepas rumahnya di sebuah kampung di Seberang Takir, dekat sini, dipecah masuk, awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, Superintendan Mohd Zani Che Din yang mengesahkan kejadian itu berkata, insiden berlaku kira-kira jam 5 pagi ketika mangsa tidur di ruang tamu manakala dua anak lelakinya tidur di dalam bilik.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa terjaga sebaik terasa ada individu berdiri di hadapannya dan terkejut apabila mendapati seorang lelaki berdiri dalam keadaan bogel.

“Sebenarnya siasatan kes ini masih di peringkat awal, jadi tidak banyak dapat saya katakan.

“Namun, apa yang pasti memang ada laporan polis diterima semalam di Balai Polis Batu Rakit dan kes kini dikendalikan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun tanpa senjata api.

“Kami difahamkan suspek menggunakan sos dan sabun dari rumah mangsa dan kami mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil membantu polis,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Difahamkan, sebaik terjaga dan melihat penjenayah itu, mangsa sempat menjerit tetapi diugut supaya mendiamkan diri dan mulutnya ditutup serta diacukan senjata tajam.

Tidak cukup dengan itu, mangsa mendakwa bajunya ditarik hingga koyak sebelum seluarnya dibuka lalu ‘diajak’ ke bilik tidur anak mangsa sebelum wanita itu sekali lagi menjerit menyebabkan mereka terjaga sertamenjerit ketakutan.
Bimbang ditangkap jiran, penjenayah melarikan diri melalui tingkap yang diumpil ketika memecah masuk. Mangsa kemudian menyedari dia kehilangan telefon bimbit sebaik cuba menghubungi rakan untuk meminta bantuan.

No comments:

Post a Comment