Search This Blog

Friday, July 9, 2010

Pekerja restoran parah terkena peluru sesat

JITRA: Seorang pekerja restoran makanan laut di Taman Dato' Osman Aroff di sini, cedera parah selepas terkena peluru sesat yang dilepaskan seorang lelaki ketika cuba menembak anjing liar dalam kejadian awal pagi ini.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, mangsa, P Rajagovallan, 65, dari Taman Desa Damai di sini, sedang menyapu sampah di restoran berkenaan apabila kedua-dua belah kakinya terkena kira-kira 30 butir peluru tabur yang dilepaskan seorang lelaki yang cuba menembak seekor anjing liar tetapi tersasar.
Anak mangsa, R Mugunthan, 21, berkata beliau menerima panggilan telefon daripada seorang rakan memaklumkan kejadian yang menimpa bapanya dan terus bergegas ke tempat kejadian.

Apabila sampai di restoran makanan laut itu, beliau mendapati bapanya dihantar ke Hospital Jitra.

"Kawan saya yang berada di tempat kejadian memaklumkan semasa kejadian, seekor anjing liar berada di belakang bapa saya ketika dia sedang menyapu sampah kerana restoran itu sudah hendak ditutup," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini, hari ini.

Beliau berkata, bapanya rebah selepas terkena peluru tabur yang dilepaskan lelaki berkenaan.

"Kira-kira jam 7.30 pagi tadi, bapa saya dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan akan menjalani pembedahan malam ini," katanya.

Beliau yang kesal dengan kejadian itu, telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu kira-kira jam 11 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaluddin Haminuddin mengesahkan menerima laporan itu.

Katanya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 iaitu melepaskan tembakan hingga menyebabkan kecederaan.-Bernama

No comments:

Post a Comment