Search This Blog

Friday, July 16, 2010

Pekerja maut di kuari



CHEMOR – Seorang pengendali jengkaut yang sedang melakukan tugas pembersihan di lereng bukit batu kapur sebuah tapak kuari di Khantan di sini, semalam, maut apabila sebuah bongkah batu secara tiba-tiba menghempap jentera yang dikendalikannya. 

Penolong Penguat kuasa Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak, Nazri Zakaria berkata, dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Hairul Anwar Nizam Harun, 30, yang berasal dari Kelantan dikatakan terperosok akibat dihempap bongkah batu berkenaan. 

“Kita menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan mangsa kerana kejadian ini berlaku berdekatan puncak bukit kawasan kuari berkenaan. 

“Kita terpaksa berhati-hati dalam operasi mengeluarkan mayat mangsa berkenaan kerana keadaan tanah yang kurang stabil. Kekangan cuaca turut menyebabkan urusan mengeluarkan mangsa sedikit perlahan,” katanya kepada Sinar Harian. 

Usaha pihak media untuk mendapat gambaran lanjut turut dihalang oleh pihak pengurusan kuari terbabit kerana ia berlaku di kawasan milik persendirian. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias mengesahkan kejadian berkenaan dan mengklasifikasikan kemalangan industri. 

“Mayat mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 5.30 petang oleh sekumpulan 15 anggota bomba dan penyelamat di kawasan berkenaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment