Search This Blog

Friday, July 16, 2010

Pekerja kedai DVD dibunuh kejam



SUBANG JAYA 15 Julai - Seorang penyelia yang pergi ke kedai menjual cakera padat digital (DVD) untuk mengutip hasil jualan daripada seorang pekerjanya di Jalan 3/1 Puchong Saujana, tergamam apabila menemui mayat pekerjanya itu terbaring berlumuran darah.
Mayat Teh Hock Tong, 43, ditemui di bahagian dapur kedai tersebut pada pukul 12 tengah malam tadi.
Mangsa dipercayai dibunuh kejam dengan lehernya dikelar manakala kepalanya dihentak dengan objek keras.
Selain bekerja, kedai berkenaan juga merupakan tempat tinggal mangsa.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, penyelia terbabit yang biasanya pergi ke kedai untuk mengutip hasil jualan pada pukul 12 tengah malam, berasa hairan apabila mendapati pintu besi sudah ditutup.
"Kedai itu beroperasi dari pukul 11 pagi hingga selewat 1 pagi tetapi menurut seorang penjual burger yang berniaga di seberang jalan, kedai itu ditutup seawal pukul 10 malam.
"Polis percaya mangsa mungkin dibunuh dalam tempoh dua jam tersebut sebelum mayatnya ditemui," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya hari ini.
Ujar Zainal Rashid, polis masih belum mengenal pasti motif pembunuhan namun akan menyiasat dari pelbagai aspek termasuk dendam atau samun.
"Pemeriksaan polis di tempat kejadian mendapati, tiada kesan pergelutan namun dompet dan telefon mangsa tidak ditemui dan dipercayai telah dilarikan," katanya yang juga menambah, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, Zainal menyerahkan tugas tiga buah balai yang sebelum ini di bawah pentadbiran daerahnya kepada Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abdul Razak Elias, berkuat kuasa esok.
Tiga balai itu adalah Balai Polis Serdang, Balai Polis, Balai Polis Seri Kembangan dan Balai Polis Puchong Jaya yang semalam meraih Balai Polis Terbaik dalam kategori A Liga Balai Polis.
Langkah memecahkan sebahagian kawasan pentadbiran IPD Subang Jaya untuk diwujudkan IPD Serdang, sebelum ini diumumkan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.
Ini berikutan pertambahan jumlah penduduk di daerah Subang Jaya, justeru, langkah memecahkan sebahagian kawasan itu adalah wajar untuk memastikan polis dapat berkhidmat untuk penduduk-penduduk di situ dengan berkesan.

No comments:

Post a Comment