Search This Blog

Saturday, July 17, 2010

Niat mandi bertukar tragedi



POKOK SENA - Seorang murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan di sini lemas di dasar kolam tapak pembinaan yang sedang dibina untuk tujuan loji kumbahan, petang kelmarin. 

Mangsa, Tan Chu Kit, 11, dipercayai mati di dalam kolam tersebut yang berselut selepas dia terjun dari pembetung untuk mandi di situ. 

Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) Kampung Kiew, Zakaria Ismail berkata, beliau difahamkan oleh penduduk kampung bahawa mangsa yang tinggal di Taman Damai sering kelihatan bermain di kawasan berkenaan sebelum ini. 

Menurutnya, penduduk yang tinggal berhampiran kolam tersebut sedar akan kehadiran sekumpulan kanak-kanak tersebut dan pada kebiasaannya tidak berlaku kejadian yang tidak diingini sebelum salah seorang daripada mereka meluru kepada seorang penduduk untuk meminta tolong. 

“Saya difahamkan oleh penduduk kampung, mangsa berdiri di atas pembetung sebelum terjun ke dalam kolam dan apabila terjun, mangsa tidak timbul dan ia mungkin disebabkan terlekat di dalam selut yang berada di dasar kolam berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian. 

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6 petang itu menggamitkan suasana di kawasan sekitar dan menyebabkan penduduk hadir untuk melihat apa yang berlaku. 

Sementara itu, kakak sulung mangsa, Tan Yong Van, 17, ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar berkata, sewaktu kejadian, dia dan ibunya, Susila Dewi, 42, berada di kilang bihun yang berdekatan sebelum dimaklumkan oleh penduduk mengenai kejadian tersebut. 

Menurutnya, dia dan keluarganya tidak tahu bahawa adiknya selalu bermain di kawasan tapak kolam tersebut. 

“Sewaktu kejadian saya dan ibu berada di kilang bihun berhampiran sebelum dimaklumkan mengenai kejadian oleh penduduk kepada kami dan tidak menyangka perkara yang buruk akan menimpanya,” katanya. 

Dalam pada itu, Sinar Harian difahamkan, mangsa yang tenggelam di dalam kolam tersebut dijumpai oleh penduduk yang turun untuk mencarinya dan mayat mangsa dihantar oleh pihak polis ke HSB untuk dibedah siasat.

No comments:

Post a Comment