Search This Blog

Thursday, July 15, 2010

Mayat wanita rentung ditemui



Anggota polis memeriksa mayat seorang wanita yang dibakar selepas dipercayai dirogol di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands berhampiran sempadan Perak-Pahang, semalam.


IPOH 14 Julai - Mayat seorang wanita yang rentung dipercayai mangsa rogol dan bunuh ditemui di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini hari ini.
Mayat wanita berusia lingkungan 30-an itu belum dikenalpasti identitinya. Ia ditemui oleh orang ramai yang melalui jalan tersebut kira-kira pukul 8 pagi.
Ketika ditemui, mayat mangsa sudah hangus kira-kira 80 peratus dan berada dalam keadaan sangat mengerikan dengan sebahagian daripada anggota tubuhnya terpisah daripada badan.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, polis yang tiba di tempat kejadian sebaik sahaja dimaklumkan, menemui mayat wanita itu di bahu jalan kira-kira 3 kilometer dari Cameron Highlands.
Katanya, polis turut menemui beberapa sisa cebisan pakaian mangsa seperti coli dan seluar jeans di tempat kejadian namun tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri.
"Polis tidak menolak kemungkinan mangsa dirogol sebelum dibunuh. Pembunuhnya dipercayai membakar mayat mangsa untuk menghapuskan bukti mangsa dirogol. Bagaimanapun, kita perlu menunggu laporan forensik untuk menentukan kesahihannya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Azisman, polis juga tidak menolak kemungkinan mangsa telah dibunuh di tempat lain sebelum dibakar dan dicampak di tempat kejadian pada awal pagi ini.
Mayat wanita itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk bedah siasat.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang kehilangan saudara mara atau kenalan diminta tampil ke balai polis terdekat bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment