Search This Blog

Saturday, July 24, 2010

Maut terperosok bawah kereta




KLANG - Hasrat seorang kelindan lori yang dalam perjalanan menemui abangnya di Setia Alam tidak kesampaian apabila motosikal yang dinaiki bertembung dengan kereta dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat, Jalan Haji Sirat, di sini malam semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 malam itu, mangsa, Clement Chellan, 18, dari Batu 1/2 Jalan Bukit Kapar parah di kepala, meninggal dunia di tempat kejadian. 

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam merangkap Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintenden Rosly Abd Rahman berkata, mangsa menunggang motosikal berseorangan dari arah Jalan Kapar menuju Jalan Meru. 

“Ketika tiba di persimpangan lampu isyarat, mangsa dipercayai tidak perasan sebuah kereta jenis Proton Wira dari arah kanan (Jalan Bahagia) secara tiba-tiba cuba membelok ke arah kiri lorong untuk memasuki kawasan perumahan. 

“Mangsa yang tidak sempat mengelak kemudian bertembung dengan kereta terbabit sebelum mangsa diseret kira-kira 5 meter hingga menaiki tebing menyebabkannya terperosok di bawah kereta itu,” katanya. 

Menurutnya, mangsa yang parah di kepala dan beberapa bahagian badan meninggal dunia di tempat kejadian. 

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, pemandu kereta wanita berusia lingkungan 30-an itu yang tidak mengalami kecederaan membuat laporan di Balai Polis Trafik Klang Selatan. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987. 

Sementara itu, di tempat sama berlaku kekecohan apabila salah seorang rakan mangsa tidak berpuas hati setelah mendapati rakannya meninggal dunia lalu memecahkan cermin belakang kereta Proton Wira itu dengan menggunakan helmet. 

Kejadian berlaku dengan pantas ketika polis sedang sibuk menjalankan siasatan.

No comments:

Post a Comment