Search This Blog

Friday, July 16, 2010

Maut dikelar




PUCHONG – Misteri seorang pekerja pusat jualan cakera padat video (VCD) yang menutup kedainya lebih awal berbanding kebiasaannya terjawab selepas mayatnya ditemui dibunuh dengan kejam dengan kesan kelar di leher selain beberapa kesan lebam di tubuh badan. 

Lebih menyayat hati bahagian kepala mangsa yang ditemui penyelianya di sebuah bilik dalam premis yang sama turut ditoreh selain dipercayai dipukul dengan objek keras. 

Peniaga burger di kawasan berhampiran yang hanya mahu dikenali sebagai Ju berkata, dia terkejut apabila penyelia pusat jualan itu datang ke gerainya untuk bertanya sama ada dia ada melihat kelibat mangsa selepas mendapati kedai jualan VCD itu sudah ditutup. 

Katanya, kebiasaannya kedai itu hanya ditutup pada jam 1 pagi namun penyelia itu terkejut apabila pada jam 10 malam kedai tempat mangsa bekerja sudah tertutup rapat. 

“Saya memaklumkan bahawa ada melihat mangsa pada jam 8 malam sebelum mendapati kedai itu ditutup lebih awal iaitu kedai kira-kira dua jam selepas itu. Namun selepas itu saya tidak tahu apa yang terjadi sehingga penyelia yang masuk ke dalam premis tidak berkunci terbabit mendakwa menjumpai mayat mangsa. 

“Beberapa minit selepas itu sepasukan anggota polis tiba dan saya langsung tidak melihat bagaimana keadaan mangsa,”katanya yang mendakwa mangsa hampir setiap hari membeli burger di gerainya kecuali semalam. 

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 11.50 malam sebelum sepasukan anggota tiba di premis terletak di Jalan SP3/11, Taman Saujana Puchong. 

Katanya, mayat mangsa ditemui di sebuah bilik yang dikatakan menjadi tempat tinggalnya dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah. 

“Tiada dompet dan identiti ditemui pada badan mangsa berusia lingkungan 40-an itu 

“Malah pemeriksaan awal polis mendapati tiada sebarang senjata ditemui di tempat kejadian manakala motif kejadian masih disiasat,”katanya yang memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 0389481421.

No comments:

Post a Comment