Search This Blog

Saturday, July 17, 2010

Maut depan taska




JOHOR BAHRU - Seorang lelaki berumur lingkungan usia 20-an ditemui mati di hadapan sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Jalan Bukit Impian 10, Taman Impian Emas Fasa 6, Skudai, semalam. 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, mangsa maut di tempat kejadian itu dikenali sebagai Lee Kee Moi. 

Hasil siasatan awal, polis percaya kejadian kemungkinan berpunca daripada perselisihan faham sehingga menyebabkan pergaduhan. 

“Kita akan menjalankan siasatan lanjut dengan melihat pelbagai aspek bagi mengetahui motif sebenar kejadian,” katanya. 

Berikutan itu, hasil maklumat orang ramai, pihak polis berjaya menahan lelaki berusia dalam lingkungan 20-an di Taman Chempaka, di sini kira-kira jam 3 pagi membantu siasatan. 

“Polis juga merampas tiga pisau dan menyita dua kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya. 

Menurutnya, usaha mengesan dan mencari suspek-suspek yang lain masih giat dijalankan dan kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian. 

Sementara itu, seorang penduduk yang enggan dikenali memberitahu mereka dikejutkan dengan jeritan seorang pemuda meminta tolong sambil menahan kesakitan sekitar jam 8.45 hingga 9 malam. 

Katanya, beberapa penduduk yang cuba memberikan pertolongan kemudiannya tergamam dan ketakutan apabila melihat keadaan lelaki itu yang berlumuran darah sambil dikejar sekumpulan lelaki berkereta. 

“Mangsa sempat menekan loceng pintu pagar dua rumah penduduk di taman berkenaan sebelum rebah di hadapan pintu pagar taska di jalan ini. 

“Ustazah yang tinggal di taska berkenaan ada memberitahu cuba untuk membantu mangsa dengan memohon bantuan jiran terdekat, namun terlambat kerana lelaki berkenaan rebah dan mati,” katanya.

No comments:

Post a Comment