Search This Blog

Sunday, July 11, 2010

Mangsa disimbah asid belum sedar

ALOR SETAR: Seorang Pegawai Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang disimbah asid di sebuah kedai di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, belum sedarkan diri selepas lima hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Kebakaran (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.
Isteri mangsa, Junainah Abdul Kadir, 36, berkata dia dimaklumkan oleh pengurusan hospital, suaminya Sarudin Mansor, 37, belum sedarkan diri tetapi dalam keadaan stabil.
“Kelmarin apabila saya panggil nama suami, dia mula menggerakkan kaki. Bagaimanapun, anggota badannya tidak menunjukkan tindak balas.

“Saya bersyukur walaupun suami belum sedarkan diri, dia menunjukkan tindak balas dan ia melegakan hati saya.

“Sejak beberapa hari lalu perasaan saya berkecamuk kerana terlalu memikirkan keadaan suami. Setiap hari saya berdoa suami cepat sembuh dan menjalani kehidupan seperti sedia kala,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Dalam kejadian Isnin lalu, seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang baru sebulan bertugas di LPKP cawangan Sungai Petani, sempat memandu pulang ke pejabatnya, selepas cedera parah pada mata dan muka akibat disimbah asid oleh seorang lelaki tidak dikenali di Taman Ria Jaya.

Dalam kejadian jam 4.15 petang, Sarudin Mansor baru masuk ke dalam Proton Satria miliknya apabila tiba-tiba seorang lelaki menunggang motosikal mengetuk cermin tingkap keretanya.

Mangsa yang mempunyai empat anak berusia antara satu hingga sembilan tahun melecur teruk hampir 45 peratus pada muka, tangan, kaki dan badan akibat kejadian itu.

Sementara itu, Junainah berkata, dia berterima kasih kepada semua pihak, terutama rakan setugas suaminya yang tidak putus-putus melawatnya di HSB.

“Kebanyakan kawan suami datang dari Kuala Lumpur, Selangor dan Kedah yang sama-sama menjalani kursus penguatkuasaan LPKP dan JPJ,” katanya.

No comments:

Post a Comment