Search This Blog

Sunday, July 11, 2010

Letupan kebakaran

KUANTAN: Seorang remaja tidak menyangka beberapa letupan didengarinya ketika menonton televisyen pada awal pagi adalah daripada empat deretan kedai dua tingkat di Jalan Mahkota yang terbakar, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, dua kedai tekstil, sebuah kedai elektrik dan pengurup wang berlesen musnah.
Menceritakan detik cemas itu, Amirul Izwan Johari, 18, berkata ketika kejadian, dia sedang menonton televisyen bersama bapa saudara dan tiga pekerja di dalam restoran milik kakaknya.

Katanya, ketika itu dia terdengar letupan dari luar restoran, namun tidak menghiraukan bunyi berkenaan.

“Kira-kira jam 2.15 pagi ketika saya hendak tidur di tingkat atas, terdengar beberapa lagi letupan dari belakang kedai.

“Mulanya saya sangka ada orang bergaduh lalu mengambil keputusan menjenguk di belakang kedai namun tidak nampak pula kelibat orang,” katanya.

Katanya, musykil dengan perkara itu, dia keluar ke depan restoran dan terkejut apabila mendapati api sedang marak dari atas bumbung sebuah kedai kain dan pengurup wang berhampiran restoran kakaknya itu.

“Saya kemudian menjerit kepada bapa saudara supaya cepat keluar menyelamatkan diri kerana bimbang api akan membakar restoran kami.

“Ketika itu juga ada tiga lagi pekerja kakak saya sedang tidur di tingkat atas restoran dan mereka turut bergegas menyelamatkan diri,” katanya.

Amirul berkata, keadaan ketika itu agak cemas dan dia dapat melihat beberapa orang dipercayai pekerja kedai terbabit lintang-pukang menyelamatkan diri.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Mohd Ikhsan Mohd Ibrahim, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu jam 2.36 pagi.
“Setibanya di lokasi kejadian kira-kira empat minit kemudian, kami dapati 70 peratus bangunan sudah terbakar,” katanya.

No comments:

Post a Comment