Search This Blog

Thursday, July 15, 2010

Kuah sate perisa katak



PERMATANG BADAK - “Cucu saya nyaris termakan seekor anak katak dalam kuah sate yang baru dibeli oleh menantu saya,” kata Zakaria Nor Mohd, 51, yang bersyukur cucunya, Nurul Elyana Maisara, 6, tidak makan anak katak tersebut memandangkan hampir separuh kuah sate itu dimakannya.

Nurul Elyana yang ternampak anak katak itu terus muntah dan tidak lalu makan kerana kegelian.

Sate yang dibeli berhadapan dengan sebuah pasar raya di sini adalah salah satu tempat kegemaran mereka sekeluarga membeli sate.

“Cucu saya ini gemar makan sate, kalau dah makan tak pandang kiri kanan tetapi kebetulan pula dia terlihat anak katak tersebut lalu terus termuntah.

“Saya risau jika cucu saya ini termakan anak katak itu kemungkinan dia boleh keracunan dan menjadi satu masalah pula kepada kami,” katanya.

Zakaria kesal dengan sikap sambil lewa peniaga yang menjual sate ini yang tidak menitikberatkan soal kebersihan makanan mereka walaupun sudah lama berniaga.

Menurutnya, usaha untuk menelefon peniaga terbabit gagal dan dia mahu tidak ada orang lain akan mengalami nasib yang sama seperti cucunya itu.

Zakaria berkata, peniaga tersebut perlu menjaga kualiti produk mereka yang mempunyai pelanggan tetap dan memperoleh pendapatan lumayan hasil daripada jualan sate tersebut.
“Saya kecewa apabila kejadian seumpama ini berlaku kepada kami kerana sebelum ini di tempat yang sama juga kami membeli sate,” katanya.

Sementara itu, dia belum membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang kepada peniaga tersebut. 

Bagaimanapun dia mahu orang ramai berwaspada dengan makanan yang dibeli oleh mereka agar tidak ada lagi kejadian seumpama ini berlaku.

“Saya juga berharap agar pihak yang bertanggungjawab memantau semua gerai dan peniaga yang menjalankan perniagaan menjual makanan ini agar kebersihan dan mutu makanan tersebut terjamin,” katanya.

No comments:

Post a Comment