Search This Blog

Tuesday, July 20, 2010

Kereta putus dua




SERI MANJUNG – Niat baik dua lelaki tempatan menumpangkan tiga lelaki warganegara Myanmar ke Kampung Koh, Sitiawan, tidak kesampaian apabila seorang daripada penumpang itu maut dalam satu kemalangan, di Batu 8 Segari, petang kelmarin. Lebih malang lagi apabila kereta jenis Proton Wira yang dipandu Koh Lim Hing, 20, terputus dua akibat kemalangan yang berlaku di hadapan Balai Polis Segari. 

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman mengesahkan kejadian berlaku kira-kira 5.45 petang, kelmarin. 

Menurutnya, mangsa yang dikenali sebagai Aung Gyi, 49, maut di tempat kejadian akibat tercampak keluar dari kereta dan mengalami kecederaan parah di kepala. 

“Dua rakan mangsa yang dikenali sebagai Naung Naung Lwin, 28, dan Aung Ho, 33, mengalami cedera parah di bahagian muka dan kaki dan masih menerima rawatan di Hospital Seri Manjung (HSM). 

“Sementara itu, rakan Lim Hing, Su Ting Wei, 22, hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam. 

Mohd Jamil berkata, siasatan awal polis mendapati kereta jenis Proton Wira yang dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Pantai Remis ke Kampung Koh, Sitiawan dikatakan cuba mengelak sebuah motosikal yang menyeberang jalan dan masuk ke dalam laluan bertentangan. 

“Dalam masa yang sama, sebuah kereta jenis Toyota dari arah Seri Manjung ke Pantai Remis bertembung dengan kereta dinaiki mangsa.

“Akibat pertembungan itu, kereta mangsa terbakar dan sepasukan bomba dari Pantai Remis dikejarkan di tempat kejadian untuk memadamkan api,” katanya. 

Katanya, mayat mangsa dihantar ke HSM untuk bedah siasat dan difahamkan mayat mangsa dituntut rakannya kira-kira jam 12 tengah hari semalam. 

“Kami akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

No comments:

Post a Comment