Search This Blog

Friday, July 16, 2010

Kempunan jeruk petai

IPOH: “Arwah ada memberitahu dia teringin makan jeruk petai ketika pulang ke rumah ibu mentua di Kampung Bendang Man, Sik, Kedah pada malam Selasa lalu. Bagaimanapun, arwah tidak sempat menjamah makanan kegemarannya itu kerana ibunya belum menyediakan jeruk berkenaan.
“Bagi memenuhi keinginan itu, saya sempat menyediakan bekalan sarapan 10 papan petai dan nasi goreng ketika dia (arwah) keluar bekerja pagi semalam (kelmarin),” kata Zulhanizah Abd Halim, 32, isteri kepada Allahyarham Koperal Mohd Din Derasah, 36, yang maut tertembak senjata rakan dalam operasi di Pulau Chiong, Banding, Gerik kira-kira jam 4.30 pagi semalam.
Zulhanizah yang menetap di Taman Desa Anggerik, Baling, Kedah, berkata arwah tidak banyak menunjukkan perubahan sebaliknya dia kerap menelefon ke rumah malam semalam bagi menanyakan khabar saya dan anak-anak.

“Saya menerima panggilan kematian arwah kira-kira jam 7.15 pagi tadi (semalam). Pada mulanya, saya tidak percaya kerana arwah baru saja menghubungi saya malam semalam (kelmarin),” katanya di Bilik Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), petang semalam.

Katanya, dia seakan-akan tidak percaya sebaik berita kematian arwah disampaikan pegawai yang bertugas di kem berkenaan. Menurutnya, sepanjang mengharungi alam perkahwinan bersamanya, arwah adalah seorang yang ceria dan sering melawak bersama anak-anak menyebabkan suasana rumah riuh rendah dengan gelak tawa. Arwah meninggalkan tiga anak masing-masing dua lelaki dan seorang perempuan iaitu Siti Zuhairah, 12, Mohd Farhan, 9 dan Mohd Fauzan, 5.

Zulhanizah berkata, arwah mula berkhidmat di Batalion 3, Rejimen Sempadan, Kem Pengkalan Hulu sejak tahun 1996 dan kali terakhir ditugaskan menjaga sempadan di Pulau Chiong, Banding.

Jenazah Mohd Din dikebumikan di Kampung Bendang Man, Sik, Kedah.

Sementara itu, Ketua Polis Grik, Superintendan Mahad Nor Abdullah berkata, mangsa maut selepas seorang rakan setugasnya secara tidak sengaja melepaskan tembakan ke arahnya (mangsa) ketika sedang membuat rondaan sempadan di Banding sekitar Tasik Temenggor.

Beliau berkata, mangsa tertembak di bahagian kepala dalam jarak 15 meter dan senjata yang digunakan dipercayai jenis senapang patah.

No comments:

Post a Comment