Search This Blog

Thursday, July 15, 2010

Kaut untung haram

SLIM RIVER: Sebuah lombong pasir di Batang Padang di sini, yang melanggar syarat permit perlombongan dipercayai mengaut keuntungan sehingga ratusan ribu ringgit sebulan hasil aktiviti penyeludupan pasir ke Selangor dengan harga jualan tiga kali ganda lebih mahal daripada harga pasaran tempatan.
Pengusaha lombong berkenaan turut dipercayai pernah menawarkan sejumlah wang kepada pihak berkuasa tempatan sebagai upah untuk ‘melindungi’ aktiviti haram mereka yang beroperasi sejak setahun lalu.
Bagaimanapun, aktiviti haram mereka akhirnya dihentikan serta-serta, semalam selepas serbuan sepasukan anggota dan penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Pejabat Tanah dan Daerah Batang Padang, Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pegawai Daerah Batang Padang, Razali Bakar berkata operasi berkenaan dijalankan untuk memantapkan penguatkuasaan undang-undang terhadap kesalahan memindahkan bahan batu tanpa kebenaran serta menghentikan operasi lombong pasir berkenaan yang melanggar syarat permit perlombongan secara berterusan.

“Hasil pemantauan selama beberapa bulan, kami dapati lori pasir yang keluar dari kawasan lombong ini menghantar bekalan sehingga ke Selangor tanpa permit sah” katanya di sini semalam.

Selain itu, katanya, biarpun pengusaha berkenaan mempunyai permit perlombongan yang sah, namun dia menyalahgunakannya untuk mengaut keuntungan lebih tanpa mempedulikan faktor alam sekitar.

“Pengusaha berkenaan menggunakan peralatan mengorek pasir atau ‘pontun’ tanpa kebenaran yang boleh mengakibatkan hakisan pada tebing lombong dan menjejaskan alam sekitar” katanya.

Semasa operasi berkenaan, sebuah treler yang membawa kira-kira 27 tan pasir ditahan selepas diekori kenderaan penguat kuasa JPJ sehingga melepasi sempadan negeri Selangor berdekatan persimpangan Tanjung Malim.

Pemeriksaan lanjut mendapati lori berkenaan tidak mempunyai permit sah untuk membawa pasir keluar dari Perak dan pemandunya mengakui bekalan pasir datang dari lombong berkenaan dan dalam perjalanan untuk dihantar kepada pembeli di Selangor.

Difahamkan, harga pasir di Perak RM10 satu tan, manakala di Selangor harga pasir mencecah sehingga RM35 bagi setiap tan.

Razali berkata pihaknya akan memohon untuk membatalkan permit lombong berkenaan akibat kedegilan pengusahanya yang terus melanggar syarat permit meskipun sudah diberi amaran dua kali.
Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa SPRM, Mohd Yussof Zakaria, berkata pihaknya menyertai operasi berkenaan berikutan aduan penguat kuasa tempatan mengenai cubaan pengusaha lombong itu untuk menyogok mereka ketika melakukan pemeriksaan.

“Bagaimanapun, semasa operasi dijalankan, penyelia lombong berkenaan mematuhi segala arahan dan tiada sebarang kelakuan mencurigakan dikesan semasa pemeriksaan dijalankan pihak berkuasa tempatan, namun SPRM akan terus menjalankan pemantauan susulan untuk memastikan tiada sebarang unsur rasuah” katanya.

No comments:

Post a Comment