Search This Blog

Friday, July 16, 2010

Kastam serbu lubuk edar rokok haram

KUALA LUMPUR: Beberapa lubuk penjualan rokok haram di sekitar ibu kota digempur Kastam Diraja Malaysia (KDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur semalam.
Operasi bermula kira-kira jam 12.30 tengah hari itu mensasarkan beberapa lokasi yang dikesan terdapat aktiviti penjualan rokok tidak sah dan belum diluluskan kastam.
Dalam satu serbuan diketuai Pegawai Kastam Kanan (Bahagian Penguat Kuasa), Khiruddin Nek di sebuah kedai di Kampung Pantai Dalam, tiga lelaki ditahan dan sejumlah rokok putih dan keretek dirampas.

Jurucakap Kastam berkata, ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun termasuk dua didapati warga Indonesia itu dipercayai terbabit mengedarkan rokok tidak sah di sekitar Pantai Dalam.

“Ketika diserbu, salah seorang daripada mereka sedang leka menjalankan urus niaga membabitkan rokok tidak sah berdasarkan bungkusan plastik yang ditemui dalam bakul motosikalnya. “Sebaik di soal siasat, seorang lagi suspek menunjukkan satu peti simpanan rahsia yang dipercayai dijadikan transit tempat penyimpanan rokok tidak sah di laluan menuju rumah sewa mereka,” katanya.

Pihaknya melakukan pemeriksaan lanjut dalam rumah disewa suspek sebelum menemui puluhan bungkusan plastik berisi rokok.

Katanya, di premis itu, pihaknya menahan seorang lagi suspek yang dipercayai menjaga rumah berkenaan.

No comments:

Post a Comment