Search This Blog

Sunday, July 25, 2010

Hasrat bapa timang anak tidak sampai


Anggota polis dan bomba mengangkat mayat Abd. Basir Hasan yang maut akibat kereta yang dinaikinya dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan di Jalan Baru Bukit Putus, Negeri Sembilan, semalam.


SEREMBAN 24 Julai - Seorang pemandu lori yang bakal menimang cahaya mata pertama bulan depan terbunuh selepas kenderaan dipandunya terbabas ketika menuruni bukit di Kilometer 17 Jalan Kuala Klawang-Seremban menuju bandar ini di Jalan Bukit Tangga dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa, Anuar Md. Noh, 28, yang berasal dari Kampung Petaseh, Jelebu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Menurut Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abdul Halil Hamzah, bomba terpaksa dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa di dalam kenderaannya yang remuk.
"Semasa kejadian mangsa dalam perjalanan dari Kuala Klawang, Jelebu ke bandar Seremban.
"Bagaimanapun ketika menuruni bukit, lori itu terbabas dan terjunam ke dalam longkang besar berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaa'far (HTJ) di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.
Difahamkan mangsa telah tujuh tahun berkahwin dengan Kartini Kamarudin, 29, dan bakal menimang cahaya mata pertamanya bulan depan.
Seorang sepupu mangsa, Samsli Abd Rahman, 45, berkata, Anuar yang baru empat hari memandu lori itu sebelum ini membawa lori tangki dan kontena.
"Sebelum ini, isteri Anuar pernah keguguran dan arwah sangat gembira kerana bulan depan dia bakal bergelar bapa," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Dalam kejadian berasingan, seorang pegawai Jabatan Perhutanan Pulau Pinang maut selepas kereta dinaikinya dirempuh sebuah kereta lain di Kilometer 12 Jalan Seremban-Kuala Pilah di sini semalam.
Dalam kemalangan pada pukul 6.30 petang itu, mangsa, Abd Basir Hasan, 49, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Rakannya yang juga pemandu kereta Proton Wira itu serta pemandu kenderaan pacuan empat roda (4WD) Perodua Kembara pula cedera parah dan dihantar ke HTJ di sini.
"Kemalangan dipercayai berpunca apabila Perodua Kembara itu tiba-tiba terbabas ketika melalui jalan tersebut sebelum memasuki laluan bertentangan.
"Kenderaan itu kemudian merempuh kereta Proton Wira mengakibatkan mangsa terbunuh," katanya.
Difahamkan mangsa baru selesai menghadiri satu mesyuarat di Hulu Bendul, Kuala Pilah dekat sini.

No comments:

Post a Comment