Search This Blog

Friday, July 16, 2010

Hadir bicara muka berjahit

MELAKA: Seorang ibu tunggal kepada dua anak mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret berasingan di Ayer Keroh dan Alor Gajah, di sini, semalam terhadap empat pertuduhan termasuk melarikan kereta milik Jabatan Perdana Menteri (JPM), sebelum terbabit dalam kemalangan, awal bulan lalu.
Tertuduh, Noor Fadhilah Mohd Derus, 26, dari Kampung Ampang Batu, Gadek, Alor Gajah, dekat sini, yang menggunakan alat penyokong leher dan mempunyai 20 kesan jahitan di kepala memohon dibicarakan di atas semua pertuduhan berkenaan.
Dia yang dihadapkan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, dituduh mencuri kereta Proton Waja Campro 1.6 warna perak bernilai RM60,000 kepunyaan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Malaysia Cawangan Melaka, Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di hadapan rumah No 39, Jalan Jasa Merdeka 27, Taman Datuk Thamby Chik Karim, Batu Berendam, kira-kira jam 9 malam pada 5 Julai lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh melakukan kesalahan sama iaitu mencuri kenderaan Toyota Avanza milik pegawai Majlis Agama Islam Melaka (Maim) bernilai RM62,000 di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Agama Maim, Kompleks Perniagaan Al-Azim, Bukit Palah, antara jam 5 hingga 5.30 pagi pada 15 Mei lalu.

Dia turut didakwa dengan sengaja mengadakan tentangan terhadap penangkapan yang sah di sisi undang-udang (lari) mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

Bagi kesalahan mencuri, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun, denda atau sebatan, manakala bagi kesalahan lari dari tahanan sah dituduh mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Muhamad Juhari Haron, mencadangkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan pertama dan RM3,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan kedua dan ketiga.

Majistret Muzila Mohamed Arsad menetapkan jaminan RM5,000 bagi pertuduhan pertama dengan seorang penjamin serta RM3,000 dengan dua penjamin bagi pertuduhan kedua dan ketiga selepas tertuduh merayu dikurangkan kerana keluarganya tidak hadir untuk menjaminnya.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 Ogos depan untuk sebutan lantikan peguam selepas tertuduh memberitahu akan melantik peguam mewakilinya pada perbicaraan itu.

Sementara itu, kehadiran tertuduh di mahkamah kira-kira jam 8 pagi mengejutkan orang ramai dan kakitangan mahkamah apabila sukar menggerakkan kepala kerana memakai penyokong leher serta mempunyai beberapa jahitan di bahagian kepalanya.
Namun, dia yang memakai jaket kelihatan tenang ketika mendengar pertuduhan dibacakan dan diterangkan oleh jurubahasa.

Pada prosiding di Mahkamah Majistret Alor Gajah kira-kira jam 3.30 di sebelah petang pula, dia didakwa menghalang tugas penjawat awam kerana enggan berhenti ketika memandu kereta Proton Waja berkenaan selepas diarahkan anggota peronda yang melakukan rondaan cegah jenayah.

Kesalahan didakwa dilakukan di Jalan Taman Desa Bayu, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah dalam daerah Alor Gajah pada 5 Julai lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM10,000 jika disabitkan kesalahan.
Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Meran Anak Emai menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, namun Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun mengurangkan kepada RM4,000 dengan seorang penjamin selepas tertuduh merayu.

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 17 Ogos depan untuk lantikan peguam.

Harian Metro pada 7 Julai lalu melaporkan seorang wanita bertindak nekad memecut laju kereta milik JPM yang dicuri sambil dikejar enam kereta peronda polis (MPV) sejauh kira-kira 80 kilometer sebelum terbabas di sebuah ladang kelapa sawit di Batu 11, Kampung Segenting, di sini.

No comments:

Post a Comment