Search This Blog

Friday, July 16, 2010

Gelagat ‘gadis katak’

KUALA LUMPUR: Dua pelancong asing layak digelar ‘gadis katak’ apabila ditahan kerana menyeludup masuk 47 ekor katak gergasi jenis Tomato Frog yang disumbat ke dalam stoking sebelum disembunyikan di dalam bagasi masing-masing.
Lebih mengejutkan apabila mereka berasal dari Madagascar, dikesan turut membawa bersama 374 ekor kura-kura spesies Radiated Tortoise dan Madagascar Tortoise yang sengaja dibalut dengan pita pelekat sebelum disorokkan menggunakan tilam dibawa.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Rasid Samsudin berkata, kedua-dua gadis terbabit masing-masing berusia 23 dan 30 tahun itu dikesan memasuki negara ini dengan menyamar sebagai pelancong asing.

Menurutnya, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 8 pagi kelmarin, suspek ditahan pegawai Kastam selepas mengesyaki membawa sesuatu yang mencurigakan.

“Ketika ditahan, suspek didapati membawa dua beg bagasi berwarna coklat dan hitam. Namun sebaik salah satu beg diperiksa, pegawai kastam menemui sejumlah haiwan yang cuba diseludup sebelum memaklumkannya kepada kami.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mereka cuba menyeludup tiga jenis hidupan liar dilindungi membabitkan 369 ekor kura-kura spesies Radiated Tortoise dan lima ekor Madagascar Tortoise,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya, semalam.

Menurutnya, kura-kura kecil dengan corak bintang di bahagian belakang badan terbabit disifatkan mempunyai permintaan dan nilai tinggi di pasaran mencecah sehingga RM1,500 seekor. “Biasanya peminat haiwan eksotik sanggup membayar harga tinggi bagi memperoleh kura-kura spesies berkenaan yang dianggap boleh membawa tuah selain sukar diperoleh berikutan hanya hidup di Madagascar.

“Suspek wanita berkenaan turut cuba menyeludup 47 ekor katak spesies Tomato Frog dan sejumlah sesumpah. Ia adalah rampasan pertama membabitkan dua spesies,” katanya.

No comments:

Post a Comment