Search This Blog

Friday, July 9, 2010

Editor kanan CNN dipecat



WASHINGTON 8 Julai - CNN telah memecat editor kanan bagi hal ehwal Asia Barat, Octavia Nasr (gambar), selepas dia menghantar mesej Twitter memuji ulama Syiah yang baru-baru ini meninggal dunia, Ayatollah Sayyed Mohammed Hussein Fadlallah.
Dia yang menyertai CNN pada 1990, meletakkan ulasan di laman Twitternya yang berbunyi, "Sedih apabila mendegar pemergian Sayyed Mohammed Hussein Fadlallah... seorang tokoh Hizbullah yang saya sangat hormati."
Ia kemudian diikuti dengan ulasan blog dalam CNN.com yang mana dia menyatakan 'kekesalan' atas ulasan Twitter mengenai lelaki yang dianggap sebagai pemimpin kerohanian Hizbullah dan dimasukkan dalam senarai 'pengganas' AS.
"Ia merupakan satu kesilapan penilaian apabila saya menulis ulasan ringkas seperti itu dan saya menyesal kerana ia disampaikan seolah-olah saya menyokong Fadlallah.
'Itu bukan halnya. Saya merujuk kepada pendirian berbeza beliau terhadap hak asasi wanita. Ini tidak bermakna saya menyokong perkara lain yang dibuat atau dikatakannya. Jauh sekali," tegas Nasr.
Naib Presiden Kanan CNN International Newsgathering, Parisa Khosravi dalam memo dalaman yang dimajukan kepada AFP menyatakan telah bertemu dengan Nasr dan 'memutuskan yang dia perlu meninggalkan syarikat'.
"Seperti yang kamu tahu, ulasan Twitter hujung minggu lalu itu mencetuskan reaksi meluas. Sebagaimana yang dinyatakan dalam blognya dalam CNN.com, dia mengakui yang dia tidak patut melakukannya dalam sebarang sebab.
"Bagaimanapun ketika ini kami percaya kredibilitinya sebagai editor kanan hal ehwal Asia Barat telah terjejas. Kami berterima kasih kepada Nasr atas semua kerja kerasnya dan mengharapkan yang terbaik untuknya selepas ini," kata Khosravi.
Nasr membuat liputan hampir semua berita Asia Barat untuk CNN sejak 20 tahun lalu dan menjadi pembaca berita CNN World Report dan CNN International's World News dari 1993 hingga 2003.
Sebelum menyertai CNN, dia bekerja untuk Badan Penyiaran Lebanon.
Pemecatan Nasr berlaku genap sebulan selepas koresponden veteran White House, Helen Thomas bersara selepas dikritik kerana ulasannya mengenai Israel. - AFP

No comments:

Post a Comment