Search This Blog

Saturday, July 24, 2010

Dua suspek baki ‘Geng Mamak’ diburu


SHAH ALAM – Polis memburu dua suspek dipercayai rakan dua penjenayah yang mati ditembak dipercayai serpihan ‘Geng Mamak’ selepas menyerang polis menggunakan parang dan pistol ketika cuba menyamun sebuah rumah di Kampung Orked, dekat Kampung Melayu Subang di sini, malam kelmarin. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, polis sedang mengenal pasti identiti dua lelaki yang melarikan diri itu. 

Dalam pada itu, Khalid berkata, sepanjang tahun ini sebanyak 16 kes samun diselesaikan membabitkan nilai lebih RM400,000. 

“Antara kejayaan polis menumpaskan penyamun di Restoran Makanan Jepun serta syarikat barang lusuh di Shah Alam,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini semalam. 

Menurutnya, ada antara penjenayah bertindak ganas, bagaimanapun tiada kes membabitkan rogol dilaporkan. 

Sementara itu, dalam kes itu, empat lelaki cuba menyamun sebuah banglo milik seorang pesara kira-kira jam 9 malam kelmarin. 

Bagaimanapun, hasil maklumat awam diterima, dua kereta peronda polis bersama lapan anggota yang sedang membuat rondaan bertindak pantas ke lokasi kejadian. 

Polis bertembung dengan kereta suspek yang dipandu laju menuruni bukit serta hampir melanggar sebuah lagi kereta polis. 

Suspek yang memandu kereta itu bertindak keluar melepaskan satu das tembakan ke arah polis menggunakan pistol semi auto 0.9mm sebelum seorang lagi turut mengacukan parang. 

Polis kemudian melepaskan tembakan mengenai kedua-dua lelaki itu sementera dua lagi rakan mereka melarikan diri. 

Kereta yang digunakan mereka dilaporkan dicuri di Sungai Jarum pada 16 Julai lalu.

No comments:

Post a Comment