Search This Blog

Thursday, July 15, 2010

Dua sahabat maut ditetak ketika makan malam

NUSAJAYA: Keasyikan dua sahabat bersembang sambil menikmati hidangan makan malam dan minuman keras bukan saja bertukar menjadi ‘malam berdarah’, malah mereka turut menemui ajal apabila ditetak sekumpulan tiga hingga empat lelaki yang tiba-tiba muncul dan melibas parang.
Seorang daripada mangsa, maut di restoran di Bandar Selesa Jaya di sini, manakala rakannya yang cedera parah akibat tetakan bertalu-talu itu disahkan meninggal dunia kira-kira 10 jam kemudian ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Sehingga kini, identiti kedua-dua mangsa juga anggota kumpulan samseng itu belum dapat dipastikan berikutan mereka dipercayai menggunakan dokumen pengenalan palsu.

Dalam tragedi berdarah itu, pelanggan yang sedang menikmati hidangan di restoran sama hanya mampu melihat serangan itu tanpa berbuat apa-apa kerana takut turut menjadi mangsa serangan kumpulan samseng yang meninggalkan kedua-dua mangsa terbaring atas lantai dibasahi darah.

Kejadian turut menyebabkan kerusi dan meja disusun di kawasan lapang di luar restoran terbabit berkecai diserbu kumpulan penyerang tidak dikenali itu.

Rakan mangsa yang tidak sedarkan diri, bagaimanapun sempat dikejarkan ke HSA sejurus kejadian di restoran di Jalan Hang Kasturi, jam 8.45 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Aziz Ahmad berkata, sejurus menerima panggilan orang ramai, sebuah kereta peronda (MPV) dikejarkan ke tempat kejadian, pemeriksaan dilakukan anggota terbabit mendapati dua mangsa cedera parah dan berlumuran darah.

No comments:

Post a Comment