Search This Blog

Thursday, July 15, 2010

Dua lelaki ditahan selepas 10 minit menyamun

KUALA LUMPUR: Dua lelaki ditahan tidak sampai 10 minit selepas menggunakan parang untuk menyamun pasangan suami isteri rakyat Myanmar di Selayang Baru di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, ketika kejadian pada jam 6.30 pagi itu, pasangan yang mendapat taraf penduduk tetap itu sedang menolak troli nasi lemak mereka di sebuah kawasan perniagaan di Selayang Baru untuk memulakan jualan.
"Tiba-tiba mereka didatangi dua lelaki menaiki motosikal yang kemudian menahan mereka dan terus mengeluarkan parang.

"Mangsa dipaksa menyerahkan wang kira-kira RM320 sebelum kedua-dua suspek melarikan diri," katanya. Beliau berkata, anggota polis yang meronda di kawasan itu menemui mangsa dan terus bertindak mengesan suspek dan tidak sampai 10 minit kemudian, kedua-dua lelaki berumur 18 dan 22 tahun ditahan di satu kawasan gelap tidak jauh dari lokasi kejadian. "Polis merampas wang tunai milik mangsa, dua telefon bimbit, lima sim kad telefon dan sebuah motosikal," katanya. -Bernama

No comments:

Post a Comment