Search This Blog

Sunday, July 11, 2010

Dua lelaki cari mangsa

PUCHONG: Kelibat dua lelaki bermotosikal disyaki pernah terbabit dalam beberapa kejadian jenayah jalanan di kawasan perumahan di Seksyen 3, Taman Kinrara, di sini, mencetuskan kegusaran penduduk setempat, terutama seorang kakitangan syarikat akhbar berbahasa Cina yang menjadi mangsanya awal bulan ini.
Suspek didakwa beberapa kali dilihat mundar mandir dengan menaiki motosikal sejak kebelakangan ini dipercayai mencari sasaran untuk melakukan aktiviti jenayahnya seperti pernah dilakukan sebelum ini.
Kehadiran kedua-dua lelaki itu dikenal pasti oleh Timbalan Ketua Penyunting Nanyang Siang Pau, Law Choy Hah, 33, selepas mendakwa beberapa kali terserempak dengan suspek di kawasan terbabit sejak kejadian malang menimpanya pada 2 Julai lalu.

Dalam kejadian itu mangsa dikatakan berjalan pulang dari tempat kerjanya seorang diri selepas turun dari bas kira-kira jam 11.15 malam.

Ketika tiba di kawasan gelap, tiba-tiba datang seseorang dan memukulnya dengan topi keledar di belakang kepala. Hentakan kuat itu menyebabkan Law rebah di tepi jalan.

Tanpa belas ihsan, lelaki berkenaan terus membelasahnya sambil cuba menarik beg sandang dibawanya.

Mangsa yang tidak mampu melawan hanya berupaya menjerit meminta tolong dan tindakannya menyebabkan suspek ketakutan lalu melarikan diri menggunakan motosikal tanpa sempat mengambil begnya.

Mangsa kemudian pulang ke rumah yang terletak kira-kira 200 meter dari tempat kejadian sebelum dibawa mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan membuat laporan polis di Balai Polis Pantai kira-kira jam 12.25 tengah malam pada 3 Julai lalu.

Akibat serangan terbabit, mangsa mengalami trauma selain bengkak di dahi dan pipi serta patah dua batang giginya.

“Saya tidak sangka menjadi mangsa selepas mendengar penduduk pernah menjadi sasaran penjenayah. Mereka sungguh kejam dan seolah-olah tiada perasaan perikemanusiaan.

“Saya berharap polis dapat mengenal pasti dan menahan segera suspek ini sebelum kejadian lebih buruk menimpa orang lain,” katanya selepas menerima kunjungan Pegawai Khas Menteri Dalam Negeri, Datuk Lau Yeng Peng, di rumahnya, pagi semalam.
Turut hadir dalam kunjungan itu ialah wakil dari Balai Polis Puchong Jaya, Sarjan Mejar Abdul Majid Sabtu, untuk mendengar rintihan Law mengenai kejadian yang menimpanya.

Lau berkata, beliau terkejut selepas dimaklumkan mengenai kehadiran suspek di kawasan itu walaupun baru saja terbabit dalam perbuatan jenayah di situ.

Menurutnya, kehadiran suspek menunjukkan mereka tidak takut undang-undang dan tidak mustahil akan ada lagi mangsa jika tidak dibendung segera.

“Sebab itu kita jemput polis datang bersama hari ini (semalam) bagi mendapat maklumat lebih lanjut dan diharap tindakan segera dilakukan supaya penduduk dapat hidup dan menjalani aktiviti harian dengan lebih harmoni serta aman.
“Saya ingin jelaskan, kehadiran penjenayah ini bukan disebabkan anggota polis tidak buat kerja, mereka (polis) sudah lakukan sedaya upaya berkhidmat kepada masyarakat.

“Sebab itu kita minta orang ramai menyalur maklumat kepada pihak berkuasa jika melihat sesuatu yang mencurigakan,” katanya.

Beliau juga akan menghantar surat kepada pihak berkuasa tempatan supaya menyelenggara dan menyediakan kemudahan asas kerana tempat berlakunya kejadian malang yang menimpa Law itu gelap disebabkan lampu jalan tidak berfungsi.

Sementara itu, difahamkan polis berusaha menjejak kedua-dua suspek melalui peningkatan rondaan polis beruniform serta preman di kawasan berkenaan.

No comments:

Post a Comment