Search This Blog

Friday, July 16, 2010

Dua bot seludup diesel ditahan

MERSING: Sindiket penyeludup diesel subsidi dari Johor dan Pahang dipercayai bekerjasama menjalankan aktiviti haram berkenaan selepas dua bot di Sungai Endau, Tanjung Gemuk Lama, Jalan Teluk Gading di sini, dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), kelmarin.
Kedua-dua bot terbabit, setiap satu didaftarkan di Pahang dan Johor, digunakan untuk memindahkan minyak diesel itu dan dipercayai untuk edaran sekitar daerah berkenaan.
Ketua Penguat kuasa Maritim Mersing, Leftenan Komander Yusoff Abu Bakar berkata, hasil maklumat awam serta risikan dijalankan sejak beberapa hari lalu berjaya membongkar kegiatan terbabit.

“Dalam serbuan jam 6.15 petang itu, sebaik menerima maklumat bahawa kedua-dua bot diburu berada di lokasi berkenaan dan APMM terus bergegas ke sana.

“Ahli sindiket tidak sempat melarikan diri dan semua lima anak kapal kedua-dua bot terbabit ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya, semalam.

Menurut Yusoff, siasatan awal mendapati anak kapal terbabit sudah melakukan kegiatan terbabit berulang kali dan semua yang ditahan, empat warga tempatan dan satu Indonesia, berusia antara 28 hingga 42 tahun kemudiannya direman.

Siasatan di dalam bot terbabit menemui 7,000 liter diesel subsidi dianggarkan bernilai RM12,600 dan bahan api berkenaan disimpan dalam tangki gelas optik.

“Turut dirampas hos getah, empat unit pam serta lapan tangki gelas optik. Kes itu diserahkan kepada polis serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM15,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyeludupan diesel subsidi diminta menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

No comments:

Post a Comment