Search This Blog

Friday, July 2, 2010

Dua ADUN PKR Selangor ke Ibu Pejabat SPRM bantu siasatan


PUTRAJAYA 1 Julai - Dua Ahli Undangan Negeri (ADUN) Selangor dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini bagi membantu siasatan mengenai kes yang dipercayai membabitkan aktiviti perlombongan pasir di negeri tersebut.
ADUN Batu Caves, Amirudin Shari dan ADUN Sri Muda, Mat Shuhaimi Shafie dilihat memasuki ibu pejabat suruhanjaya itu pada pukul 3 petang dengan kehadiran kira-kira 40 penyokong parti tersebut yang memenuhi pekarangan bangunan berkenaan.
Mereka berdua turut ditemani tiga peguam termasuk Shamsul Iskandar Md. Akin yang juga Ketua Angkatan Muda PKR.
Turut kelihatan bersama penyokong PKR ialah Exco Kerajaan Negeri Selangor, Yaakob Sapari.
Difahamkan salah seorang ADUN tersebut disoal siasat berhubung aktivitinya dalam perlombongan pasir manakala seorang lagi membabitkan sebuah syarikat pasir yang beroperasi di Selangor.
Sehingga pukul 7 malam ini, kedua-dua ADUN tersebut masih lagi disoal siasat oleh pegawai penyiasat SPRM.
Mereka difahamkan berhenti rehat pada pukul 6 petang sebelum soal siasat disambung semula.
Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat SPRM, Datuk Ahmad Khusairi Yahaya berkata, tindakan memanggil kedua-dua ADUN itu merupakan satu prosedur biasa SPRM bagi membantu siasatan yang sedangkan dijalankan oleh suruhanjaya berkenaan.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan kes siasatan yang sedang dilakukan itu dan menolak kemungkinan kedua-dua ADUN berkenaan akan ditahan.
"Kami mengalu-alukan kedatangan kedua-dua ADUN terbabit dan mereka telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM.
"Janganlah anggap yang bukan-bukan dan membuat sebarang spekulasi kerana ia adalah satu prosedur biasa, menteri dan ketua-ketua jabatan pun pernah dipanggil membantu siasatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Laporan akhbar hari ini menyebut kedua-dua ADUN itu dipanggil ke ibu pejabat SPRM hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (A) Akta SPRM 2009.
Kedua-dua ADUN itu menerima notis pemeriksaan daripada SPRM yang dikeluarkan Isnin lalu, mengarahkan mereka hadir untuk membantu siasatan mengikut seksyen tersebut iaitu membabitkan kesalahan memberi atau menerima suapan untuk ejen.

No comments:

Post a Comment