Search This Blog

Saturday, July 17, 2010

Dirempuh dua kenderaan ketika melintas jalan



JALAN KAPAR - Tindakan seorang lelaki melintas jalan secara terburu-buru membawa padah apabila dia dilanggar sebuah motosikal dan lori dalam kejadian di Batu 9, Jalan Kapar, di sini, pagi semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, Stakie Anthony Dass, 24, yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian. 

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam merangkap Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang, Deputi Superintenden Rosly Abd Rahman berkata, berdasarkan siasatan polis mendapati sebelum kejadian, mangsa dipercayai datang dari arah sebuah kuil lalu melintas jalan secara tiba-tiba. 

“Berkemungkinan mangsa tidak menyedari sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki dari arah Pekan Kapar meluru ke arahnya. 

“Penunggang motosikal itu dipercayai gagal mengelak lalu melanggar mangsa yang baru beberapa meter berada di tengah jalan. Difahamkan, akibat perlanggaran kuat itu mangsa kemudiannya tercampak ke tengah jalan,” katanya. 

Pada masa sama menurutnya, sebuah lori yang datang dari arah Pekan Kapar gagal mengelak lalu melanggar mangsa yang berada di tengah jalan. 

“Kedua-dua perlanggaran itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian. Bagaimanapun penunggang motosikal dan pemandu lori terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan. 

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987,” katanya kepada Sinar Harian. Dalam pada itu, Rosly berkata, polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu. 

“Kesemua pihak yang terlibat dalam kejadian itu sudah membuat laporan polis.” 

Sesiapa yang menyaksikan kejadian berkenaan diminta tampil ke Balai Trafik Daerah Klang atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Md Norizan Ramli di talian 03-33722222 bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment