Search This Blog

Friday, July 16, 2010

Detik cemas lebih 3 jam

PORT DICKSON: Lapan nelayan laut dalam warga Taiwan dan Filipina menempuh detik cemas lebih tiga jam apabila terperangkap di atas kapal dinaiki mereka yang terbakar sebelum berjaya diselamatkan kira-kira 15 batu nautika barat perairan bandar ini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, semua lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 50-an yang menaiki kapal ‘Jian Sheng 18’ berkenaan dalam perjalanan pulang menuju ke Singapura selepas selesai menangkap ikan di Lautan Hindi berhampiran kepulauan Mauritius.
Kapal yang berdaftar di Singapura itu bagaimanapun dikatakan tiba-tiba mengalami masalah sebelum berlaku kebakaran di bilik jentera atau enjin di bahagian belakang.

Semua kru termasuk tekong kapal kemudian cuba untuk memadamkan api, namun tidak berhasil dan terpaksa berkumpul di bahagian depan sebagai langkah keselamatan.

Penantian perit mereka selama lebih tiga jam berakhir apabila diselamatkan sebuah kapal persiaran mewah ‘Star Virgo’ yang secara kebetulan melalui kawasan terbabit, kira-kira jam 10.30 pagi.

Ketua Penguat kuasa Maritim Daerah Kuala Linggi, Kapten Maritim Ibrahim Mohamed, berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat daripada Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bharu mengenai kejadian kira-kira jam 7.30 pagi.

“Sebanyak dua bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dikejarkan ke lokasi berkenaan untuk memberikan bantuan kecemasan termasuk memadamkan kebakaran kapal bersaiz 56 meter (m) panjang dan 8.9 m lebar terbabit.

“Bagaimanapun, sejurus tiba, semua mangsa sudah diselamatkan oleh sebuah kapal persiaran mewah ‘Star Virgo’ yang ketika itu dalam perjalanan dari Singapura menuju Pelabuhan Klang, Selangor,” katanya.

No comments:

Post a Comment