Search This Blog

Friday, July 16, 2010

Deejay dicekup

KUALA LUMPUR: Seorang deejay sebuah pusat hiburan antara empat pengedar dadah yang ditahan dalam tiga serbuan berasingan membabitkan jumlah rampasan bernilai lebih RM530,000 di sekitar ibu kota pada Isnin lalu hingga kelmarin.
Deejay berusia 46 tahun itu ditahan pada jam 10 malam ketika menjalankan urusan jual-beli pil Eramin 5 di tepi Jalan Utama, Jalan Sungai Besi, di sini. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Sabtu Osman berkata, siasatan mendapati suspek yang juga seorang duda dipercayai aktif mengedar pil khayal di sekitar Lembah Klang terutama di pusat hiburan.
“Pemeriksaan ke atas kereta suspek menemui satu beg kertas berisi 10,000 biji Eramin 5 bernilai RM150,000,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam. Beliau berkata, polis kemudian menyerbu rumah suspek di Jalan Loke Yew di sini dan menjumpai satu kotak pil Eramin 5 berjumlah 15,400 biji bernilai RM230,000.

Katanya, suspek dipercayai terbabit dengan sindiket pengedaran dadah tempatan yang menjualnya pada harga RM15 sebiji.

“Dengan tertangkapnya suspek, kami berjaya menyekat pengedaran Eramin 5 di pusat hiburan di Lembah Klang,” katanya. Dalam serbuan kedua, seorang pengawal keselamatan yang dipercayai aktif mengedar dadah di Lembah Klang ditahan selepas polis menjumpai lima bungkusan heroin seberat 2.3 kilogram di tepi jalan di Taman Melati, Setapak di sini, Selasa lalu. Sabtu berkata, hasil soal siasat, suspek berusia 38 tahun membawa polis ke rumahnya di Batu Caves, Selangor dan menjumpai satu botol plastik jernih mengandungi ganja seberat 0.21 kilogram dan wang tunai RM9,000. “Kami turut menyita dua kereta Honda Civic dan sebuah Proton Wira, dipercayai digunakan suspek untuk mengedar dadah,” katanya.

Beliau berkata, suspek dipercayai aktif mengedar dadah jenis heroin sejak tiga bulan lalu dan hasil ujian air kencing dijalankan juga mendapati suspek positif dadah.

Dalam serbuan ketiga kelmarin, polis melumpuhkan satu rangkaian sindiket pengedaran ganja didalangi seorang pemandu teksi berusia 55 tahun di Taman Seri Gombak, Batu Caves.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 petang itu, seorang lelaki berusia 41 tahun yang bekerja sebagai buruh ditahan di kawasan Kampung Baru di sini dan merampas enam ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja seberat 5.6 kilogram. Sabtu berkata, hasil soal siasat, lelaki itu menunjukkan tempat dia menyorokkan 29 ketulan mampat tumbuhan ganja seberat 27.2 kilogram dalam sebuah kereta yang diletak di tempat letak kereta sebuah pangsapuri di Bandar Baru Ampang, di sini.

“Hasil pemeriksaan di rumah lelaki itu, kami menemui tiga lagi ketulan mampat ganja seberat 0.9 kilogram. Lelaki terbabit juga mempunyai satu rekod jenayah iaitu melarikan diri dari Pusat Pemulihan Dadah pada 2004,” katanya. Beliau berkata, polis kemudian menahan rakan lelaki itu yang berusia 55 tahun dan bekerja sebagai pemandu teksi di rumahnya di Taman Seri Gombak kerana dipercayai mendalangi kegiatan pengedaran dadah jenis ganja itu.

No comments:

Post a Comment