Search This Blog

Friday, July 16, 2010

Darah keluar dari perut

IPOH: “Sebaik tersedar daripada kejutan letupan itu, saya melihat darah mencurah keluar dari luka di perut akibat terkena serpihan bom,” kata Sarjan Saad Salleh, 57, ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.
Saad yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Larut, Matang dan Selama (LMS) berkata, sepanjang tempoh 30 tahun pengalamannya dengan Unit Bom, itu insiden pertama dia tercedera ketika menjalani latihan.
“Insiden itu berlaku terlalu pantas. Ketika kejadian, saya dan empat rakan setugas sedang menguji peralatan baru memusnahkan bom dan kami berada kira-kira 70 meter dari kawasan tapak bom diletupkan.

“Tiba-tiba letupan berlaku menyebabkan kami tercampak. Sebaik sedar daripada kejutan akibat letupan itu, saya rasa kesakitan yang amat sangat di perut seperti dibelah dengan pisau. “Ketika itu, saya lihat Sarjan Saidin Mohd Dom rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya menceritakan detik cemas kejadian letupan mengorbankan seorang anggota polis di Kampar, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Saidin, 50, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kampar (HK) kira-kira jam 6.30 petang manakala empat cedera termasuk seorang parah.

Saad dipindahkan ke HRPB dari HK untuk rawatan lanjut selepas mengalami kecederaan serius di perut dan beberapa anggota badan manakala Sarjan Zulkifli Ijum dari IPD Ipoh, Koperal Kamaruddin Ismail dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) Sungai Senam dan Lans Koperal Mohd Nor Firdaus dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hanya cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar. Semua mangsa adalah sebahagian 40 anggota polis yang menjalani latihan memusnahkan bom di lapang sasar IPD Kampar.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, siasatan berhubung punca kejadian itu masih dijalankan.

No comments:

Post a Comment