Search This Blog

Sunday, July 11, 2010

Cubaan pindah gas haram gagal

NIBONG TEBAL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berjaya mematahkan satu sindiket pemindahan gas haram membabitkan nilai rampasan RM40,000 dalam serbuan di sebuah gudang di Kampung Seberang Padang Lalang, Tasek, di sini, kelmarin.
Ketua Cawangan KPDNKK Seberang Prai Tengah (SPT), Mohd Zainal Yeop Dahari berkata, pihaknya membuat pemantauan selama seminggu sebelum menyerbu gudang itu.
“Berdasarkan maklumat awam, kami menjalankan risikan selama seminggu dan hanya mengambil tindakan selepas memastikan gudang ini menjalankan pemindahan gas subsidi ke tong industri secara haram.

“Dalam serbuan ini seorang lelaki yang juga pekerja di gudang ini ditahan dan siasatan mendapati sindiket ini beroperasi sejak enam bulan lalu,” katanya ketika ditemui di tempat serbuan.

Mohd Zainal berkata, operasi itu membabitkan pemindahan secara haram gas subsidi atau gas yang biasa digunakan di rumah seberat 14 kilogram (kg) ke tong gas industri kosong seberat 50 kg.

“Sebanyak 250 tong gas ditemui dalam pemeriksaan di gudang ini, 67 daripadanya tong 14 kg yang masih berisi gas, 151 tong 14 kg yang sudah diproses, 30 tong gas 50 kg siap diproses serta 30 tong gas 50 kg siap untuk dipindahkan,” katanya.

Menurutnya, serbuan itu membabitkan 14 pegawai KPDNKK SPT dan Putrajaya dan pihaknya merampas semua tong gas terbabit yang dianggarkan bernilai kira-kira RM40,000 untuk siasatan.

No comments:

Post a Comment