Search This Blog

Friday, July 16, 2010

Cory masih di China

KUALA LUMPUR: Seorang gadis Iban, Christina Anak Luke Niju, 22, dikesan masih berada di China berdasarkan rekod visa kemasukan berganda yang diperolehnya sejurus memasuki negara itu awal Mei lalu.
Mangsa yang mesra dipanggil Cory dilaporkan hilang 2 Mei lalu selepas melarikan diri bersama teman lelakinya, seorang lelaki Afrika.
Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, sejurus pihaknya mendapat aduan daripada ibu bapa mangsa kelmarin, beliau membawa mereka menemui Interpol bagi mengesan anak gadisnya itu yang dipercayai dikurung sindiket dadah.

“Hasil perbincangan bersama Penolong Pengarah Biro Pusat Antarabangsa (NCB) Interpol, Superintendan Gan Tack Guan bersetuju membantu mengesan Cory dan akan berusaha membawanya pulang.

“Hari ini (semalam) saya mendapat maklumat terkini daripada Interpol yang memaklumkan Cory masih berada di China berdasarkan rekod visa kemasukan berganda ke negara itu,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

Menurutnya, pelajar tahun akhir Diploma Perniagaan dari Politeknik Kuching, Sarawak itu kali terakhir dikesan memasuki Haikow Hainan, China sejurus tiba di lapangan terbang negeri berkenaan pada 2 Mei lalu.

Difahamkan, mangsa disahkan masih berada di China tetapi tidak dapat diketahui sama ada masih berada di negeri itu atau sudah ke tempat lain.

“Menurut Interpol, visa mangsa akan tamat pada 29 Julai ini dan akan mengesan sama ada mangsa keluar atau tidak pada tarikh berkenaan.

“Interpol juga akan menyiasat perkara ini daripada semua sudut kerana bimbang keselamatan mangsa yang dikhuatiri dikurung sindiket tertentu berdasarkan pesanan emel yang dikirimkan mangsa kepada rakan sebiliknya pada 10 Mei lalu yang meminta bantuan membebaskannya,” katanya.

Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang oleh ibunya Elpedio Metello,53, selepas mendapat maklumat daripada rakan sebilik mangsa yang memaklumkan mangsa ke China dengan seorang lelaki bernama James yang dikenali melalui laman sosial.

Cory dipercayai menaiki kapal terbang ke Kuala Lumpur pada 24 April untuk berjumpa dengan teman lelakinya itu yang mengaku sebagai pelajar sebuah kolej swasta di Subang, Selangor sebelum berangkat ke China kerana mengikuti James bagi menjalankan perniagaan.

No comments:

Post a Comment