Search This Blog

Friday, July 16, 2010

Cari suami hilang sahkan sijil nikah

SANGLANG: Seorang ibu muda merayu supaya suaminya pulang ke pangkuan keluarga bagi menyelesaikan masalah pengesahan sijil nikah mereka untuk memastikan masa depan anak mereka terbela.
Nor Diana Md Zin, 23, dari Kampung Tok Mengkula, di sini berkata, suaminya Shaiful Nazri Saad, 27, tidak pulang ke rumah sejak kematian ibu Nor Diana, Som Ahmad, tujuh bulan lalu dan mengabaikan tanggungjawab terhadap tiga anak mereka yang berusia antara satu hingga empat tahun.
Nor Diana yang juga isteri kedua Shaiful menghadapi masalah kerana sijil nikah yang dikeluarkan di Thailand belum mendapat pengesahan dari Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik), menyebabkan pendaftaran kelahiran ketiga-tiga anaknya juga menghadapi masalah.

Menurutnya, dia dan suaminya berkahwin secara rahsia di Thailand sejak lima tahun lalu kerana usianya yang masih muda dan selepas berkahwin, dia mendapati dirinya ditipu kerana suaminya yang berasal dari Kampung Megat Dewa, sebenarnya sudah berkahwin dengan wanita lain.

“Saya pernah meminta suami untuk membuat pengesahan sijil itu namun dia melambat-lambatkan urusan berkenaan sehingga dia menghilangkan diri tanpa sebarang khabar berita.

“Malah, suami juga tidak memberi nafkah untuk anak-anak dan saya terpaksa bekerja di kedai makan di Alor Setar dan berulang-alik setiap hari,” katanya.

Katanya, pendapatannya sebanyak RM300 hingga RM500 sebulan juga tidak cukup untuk membiayai kehidupan mereka sekeluarga kerana dua anaknya, Aina Arisya, 3 tahun, dan Aifan Daniel, setahun lima bulan terpaksa diserahkan kepada pengasuh dengan upah RM150 sebulan.

Anak sulungnya pula, Aiman Haris, 4, kini dijaga kakak iparnya.

“Saya pernah pergi ke rumah mentua saya, namun diberitahu suami tidak tinggal di situ dan mereka enggan memberitahu di mana suami saya tinggal menyebabkan saya mengalami tekanan kerana sehingga kini masih tidak berjumpanya.

“Keluarga mentua pula seperti tidak menerima saya dan anak-anak dan pernah sewaktu arwah ibu saya baru meninggal dunia, saya bersama anak-anak menumpang sekejap di rumah mentua kerana tidak mempunyai wang untuk membeli makanan untuk anak-anak, namun keluarga mentua masih enggan menerima mereka,” katanya.

Nor Diana berkata, kehidupannya kini diibaratkan kais pagi makan pagi kerana tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan lain, malah permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula masih tidak mendapat sebarang maklum balas sejak empat bulan lalu.
“Apa yang saya risaukan ialah keadaan anak-anak yang semakin membesar dan akan memasuki alam persekolahan tidak lama lagi. Sekiranya suami masih enggan pulang dan menguruskan soal pengesahan sijil nikah dan sijil pendaftaran kelahiran anak, sudah tentu mereka akan tercicir dalam pelajaran,” katanya.

No comments:

Post a Comment