Search This Blog

Friday, July 9, 2010

Beli tauge bayar RM100

KUALA LUMPUR: Beli tauge 50 sen, tetapi perlu membayar saman RM100. Itu antara rungutan pelanggan Pasar Batu 5, Jalan Ipoh, di sini, berikutan masalah ketiadaan tempat letak kenderaan di sekitar pasar itu.
Peniaga, Norsiah Rahman, 49, berkata bukan saja orang awam yang merungut mengenai masalah itu, bahkan peniaga turut mengalami nasib sama.
Katanya, biarpun pelbagai aduan dan permohonan diaju kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya mewujudkan kawasan letak kenderaan berhampiran pasar berkenaan, namun ia dipandang sepi. “Saya sudah berniaga selama 33 tahun di sini, masalah ini tidak pernah selesai. Kakitangan DBKL pernah datang meninjau keadaan, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

“Anggota penguat kuasanya pula, akan meronda tiga kali sehari untuk mengeluarkan saman kepada kenderaan pengunjung yang diletakkan di hadapan pasar. “Tidak cukup saman dikeluarkan DBKL, kenderaan juga sering disaman polis,” katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, peniaga pernah mengutarakan kepada DBKL supaya memohon Jabatan Perhutanan merobohkan bangunan pejabat lama jabatan itu di tanah terbiar bersebelahan pasar untuk dijadikan tempat letak kenderaan, namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas dari PBT itu.

“Jika kawasan itu dijadikan tempat letak kenderaan berbayar pun kami alu-alukan,” katanya. Sementara itu, peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Zainab, 45, berkata masalah itu menjadi faktor mengapa pasar berkenaan kurang mendapat kunjungan daripada pembeli.

Katanya, tidak hanya menghadapi masalah untuk meletak kenderaan, peniaga juga terpaksa menanggung kerugian setiap kali hujan lebat kerana pasar akan dilanda banjir.

“Sekarang bilangan pembeli semakin berkurangan, setiap kali datang pastinya akan kedengaran rungutan daripada mereka mengenai masalah ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment