Search This Blog

Sunday, July 11, 2010

Bayi terbuang rebutan ramai



Oleh Mohd Azis Ngah 
azis@bharian.com.my
2010/07/11

pix_gal0
Pusat Pelindung Bayi terpaksa lakukan saringan ketat setiap pemohon 

PETALING JAYA: Bayangkan seorang bayi menjadi rebutan 300 pasangan! Inilah hakikatnya apabila Pusat Pelindung Bayi (Baby Hatch) pertama negara yang dilancarkan 29 Mei lalu baru menerima seorang bayi sedangkan jumlah yang memohon untuk mendapatkan anak angkat terlalu ramai.
Ini terbukti apabila sehingga semalam hampir 300 pasangan yang kebanyakannya pasangan sudah lama berkahwin, tetapi belum dikurniakan zuriat sudah memohon dari pusat berkenaan serta individu bujang yang inginkan anak angkat.
Ada juga pemohon yang sudah mempunyai anak, tetapi mahu anak angkat dengan alasan anak sudah besar, kesunyian kerana tinggal berdua bersama pasangan bahkan ada yang mahukan anak berlainan jantina. 

Setiausaha Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak Yatim (OrphanCARE) yang menguruskan Baby Hatch itu, Azra Banu, berkata pihaknya terpaksa membuat saringan ketat untuk membuat pilihan sebelum pemohon itu diletakkan dalam senarai menunggu. 

Ini bermakna, mereka yang berada dalam senarai keutamaan akan diutamakan sebaik saja pusat itu menerima bayi. Keutamaan diberi kepada pasangan yang sudah lama berkahwin, tetapi tidak mempunyai anak manakala pemohon lain diletakkan sebagai pilihan kedua dan ketiga. 

Katanya, OrphanCARE menerima banyak permohonan yang dihantar melalui talian atau mereka datang ke pusat jagaan itu dan setakat ini sudah menemuduga 70 pasangan yang layak berada dalam senarai menunggu manakala lebih 200 lagi permohonan sedang diproses. 
“Kita kena kaji, adakah mereka mampu bagi pendidikan, membela anak kecil itu, siasat di mana mereka tinggal dan mampukah mereka. Ini bukan soal kaya atau miskin, asalkan mereka layak, cukuplah,” katanya kepada Berita Minggu. 

Semua permohonan akan disemak rapi untuk memilih pasangan yang layak melalui prosedur sah dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hospital, polis serta agensi berkaitan. 

Baby Hatch yang julung kali diperkenalkan di negara ini pada 29 Mei lalu menerima bayi pertama yang diserahkan kepada pusat itu pada 26 Jun lalu. Bayi lelaki seberat 2.7 kilogram dilahirkan sehari sebelum itu dan sudah diserahkan kepada keluarga angkat selepas 11 hari dijaga. 

Mengenai maklumat peribadi ibu bapa bayi yang diserahkan, Azra berkata, semua maklumat adalah rahsia dan dikawal ketat, tetapi mengakui mereka tidak dilindungi mana-mana peruntukan undang-undang yang menghalang mana-mana pihak mendapatkan maklumat sulit berkenaan. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz ketika mengulas situasi itu berkata, sepatutnya ada peruntukan khas undang-undang melindungi maklumat berkenaan bagi menggalakkan lebih banyak pihak memberikan kerjasama membendung gejala membuang bayi. 

“Kita perlukan satu alternatif penyelesaian terbaik. Masalah sudah ada, kita tak boleh biarkan mereka bunuh bayi tidak berdosa,” katanya selepas merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Petaling Jaya Utara, di Kota Damansara, semalam. 

Sementara itu, mengulas mengenai kebimbangan mengenai nasib bayi yang mungkin diserahkan OrphanCARE kepada pasangan bukan Islam, Azra berkata, pihaknya mempunyai rekod dan maklumat yang digunakan untuk memilih keluarga angkat yang sesuai. 

Katanya, bayi yang sah berketurunan Melayu beragama Islam akan diserahkan kepada keluarga angkat beragama Islam dan sebab itulah setiap pasangan yang menyerahkan bayi mereka kepada Baby Hatch diminta mengisi borang serta meninggalkan dokumen berkaitan. 

“Jika mereka malu nak jumpa kita atau kaunselor, mereka boleh isi maklumat dan tinggalkan saja di situ bersama bayi. Kami akan proses maklumat itu termasuk rekod pemeriksaan perubatan untuk memudahkan urusan pendaftaran kelahiran dan penyerahan keluarga angkat,” katanya.

No comments:

Post a Comment