Search This Blog

Friday, July 16, 2010

Bapa lebih tunjuk sifat penyayang

BANDAR BAHARU: “Seminggu sebelum mendaftar masuk ke UiTM (Universiti Teknologi Mara) untuk sesi baru, abah bersungguh-sungguh memasak nasi tomato untuk kami sekeluarga.
“Dua hari sebelum kejadian, abah telefon bertanya khabar dan wang belanja, saya dapat rasakan perubahan sikapnya apabila lebih sayangkan anak berbanding biasa sama ada percakapan atau perbuatan,” kata anak kedua Allahyarham Sarjan Saidin Mohd Dom, 50, yang terbunuh dalam kejadian letupan bom di Lapang Sasar Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar, kelmarin.
Norhafiz Saidin, 22, yang mengambil jurusan Pengajian Maklumat di UiTM Shah Alam, Selangor berkata, bapanya juga kurang bercakap sejak akhir-akhir ini tetapi memberi perhatian lebih kepada mereka sekeluarga.

Menurut anak kedua daripada enam beradik itu, meskipun bapanya tegas mendidik anak tetapi arwah seorang bapa dan ketua keluarga yang penyayang serta bertanggungjawab.

“Saya terkejut dengan berita menimpa abah selepas dihubungi adik memaklumkan kejadian itu sebelum bergegas pulang ke Ipoh.

“Kehilangan abah begitu dirasai kami adik-beradik,” katanya ditemui selepas upacara pengebumian mangsa di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tok Gula, di sini, semalam.

No comments:

Post a Comment