Search This Blog

Friday, July 16, 2010

Banglo sorok budak

KUCHING: Sebuah banglo yang terletak di kawasan perumahan mewah Richmond Hill, Jalan Stampin Tengah di sini, dipercayai menjadi transit sindiket seludup dan jual bayi yang dibongkar polis negeri ini sejak Isnin lalu.
Dalam kejayaan terbaru, seorang daripada dua kanak-kanak perempuan berusia antara tiga hingga 12 tahun yang diselamatkan polis adalah hasil kejayaan serbuan ke atas banglo terbabit, kira-kira jam 5.30 pagi semalam. Satu lagi serbuan dilakukan di sebuah rumah di Desa Wira, di sini. Susulan penemuan dua kanak-kanak itu, polis menahan reman seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan isterinya, masing-masing berusia 65 dan 43 tahun. Turut direman enam suspek berusia antara 21 hingga 30 tahun termasuk seorang wanita warga Indonesia.
Difahamkan, penahanan reman itu adalah kerana Datuk dan isterinya dipercayai dalang utama selepas polis Sarawak menahan enam suspek pagi kelmarin. Bagaimanapun, selepas penahanan itu, pasangan berkenaan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak (IPK) untuk memberi keterangan. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner, Huzir Mohamed berkata, pasangan itu ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan.

Katanya, serbuan itu selepas polis menerima maklumat dan menemui dua kanak-kanak, masing-masing di premis berkenaan serta di Desa Wira.

“Selain ahli perniagaan dan isterinya, enam lagi direman berusia antara 20 hingga 30-an ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Penemuan terbaru itu menjadikan enam kanak-kanak dan bayi berjaya diselamatkan daripada sindiket penyeludupan yang beroperasi di bandar raya ini.

Kelmarin, tiga bayi berusia antara 27 bulan hingga dua tahun 11 bulan berjaya diselamatkan dalam serbuan di sebuah rumah.

Penemuan bayi itu susulan penahanan wanita Indonesia bersama lelaki tempatan dan menemui bayi perempuan berusia 23 bulan dipercayai diseludup dari negara jiran di Bandar Baru Batu Kawa , Isnin lalu.

Tinjauan Harian Metro ke atas rumah pasangan berkenaan semalam, mendapati keadaannya sunyi seolah-olah tiada penghuni.

Keadaan sunyi itu dipercayai memudahkan kegiatan itu dijalankan selain kedudukan pintu masuk utama tersembunyi. Semua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching untuk mendapatkan perintah reman kira-kira jam 10 pagi semalam.

No comments:

Post a Comment