Search This Blog

Saturday, July 24, 2010

Bahana marah kelas bising

KUALA LUMPUR: Seorang guru agama didakwa bertindak keterlaluan apabila menendang berkali-kali seorang muridnya yang baru berusia tujuh tahun selain mencubit anggota badan mangsa dalam kejadian di sebuah sekolah di Sungai Penchala, dekat sini, kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika ustaz berusia lewat 20-an itu sedang mengajar di sebuah kelas.
Difahamkan, lelaki itu tiba-tiba naik angin selepas beberapa murid dikatakan membuat bising lalu bertindak mencubit beberapa murid tahun satu berkenaan.

Ketika kejadian, empat guru wanita turut berada di lokasi sama dan pada awalnya hanya memerhatikan kelakuan buas ustaz berkenaan.

Bagaimanapun, sebaik menyedari tindakannya bertambah ganas dan bimbang perkara buruk berlaku, seorang daripada mereka meleraikan insiden berkenaan.

Bapa seorang murid, Mohd Azri Ramsi, 31, berkata dia menyedari perkara itu selepas mendapati anaknya hanya mendiamkan diri ketika pulang ke rumah pada sebelah malam hari kejadian serta melihat ada kesan lebam di bahagian dada anaknya.

“Pada mulanya dia (mangsa) hanya berdiam diri dan enggan menjelaskan apa yang berlaku, namun segala-galanya terbongkar selepas rakan sekelasnya memaklumkan kejadian itu kepada saya,” katanya.

Kesal tindakan ustaz terbabit, satu perjumpaan diatur bapa mangsa bersama pihak pengurusan sekolah itu.

Bagaimanapun, Mohd Azri tidak berpuas hati dengan jawapan diberi pihak sekolah malah ustaz didakwa mengasari kanak-kanak itu juga berkelakuan seperti tiada apa yang berlaku.

“Dia (ustaz) sebaliknya menafikan tindakannya menendang dan mencubit anak saya selain menjelaskan hanya menguis kaki mangsa,” katanya.

Beliau membuat laporan polis insiden itu di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini selepas melakukan pemeriksaan kesihatan mangsa di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

No comments:

Post a Comment