Search This Blog

Thursday, July 15, 2010

20 korban taufan Conson

MANILA: Taufan Conson membadai Filipina awal pagi semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan memusnahkan beberapa pekan kecil.
Taufan itu juga menyebabkan kegiatan di bandar raya Manila terhenti.
Kira-kira 60 orang turut dilapor hilang.

Taufan itu mula melanda negara Asia Tenggara itu lewat malam kelmarin sebelum membadai Luzon, pulau utama Filipina dengan angin selaju 120 kilometer sejam.

“Bunyi angin itu seperti kanak-kanak menjerit,” kata Rigor Sambol, 52, bapa enam anak yang tinggal di pekan kecil tepi pantai di pinggir Manila.

“Ia begitu kencang hingga rumah sampan kami hampir terbalik. “Saya terpaksa membawa anak-anak ke gim berhampiran,” katanya.

Beberapa rumah yang didirikan oleh setinggan di sepanjang pantai musnah sama sekali, menyebabkan penduduk yang terkejut bergegas mencari kayu untuk membina tempat perlindungan sementara.

Pihak berkuasa berkata, 20 orang disahkan mati, termasuk dua setinggan yang dihempap rumah mereka.

Lima puluh tujuh nelayan dilapor hilang sementara tiga penduduk yang dipercayai hanyut di selatan Manila masih belum ditemui, kata sumber tentera.

Pegawai bantuan bencana berkata mereka masih berusaha memastikan jumlah kerosakan sebenar dan terdapat kebimbangan jumlah kematian mungkin meningkat.

Conson juga menyebabkan bekalan elektrik di Pulau Luzon terputus sama sekali, termasuk di Manila.
Syarikat pembekal tenaga, Meralco berkata, lebih 90 peratus daripada 12 juta penduduk Manila masih belum mendapat bekalan elektrik sehingga petang semalam.

Sistem kereta api di bandar raya berkenaan juga dihentikan kerana keputusan bekalan itu.

Filipina terletak di kawasan lingkaran taufan Pasifik. Kira-kira 20 taufan membadai negara itu setiap tahun, menyebabkan beratus-ratus penduduk terbunuh.

Conson ialah yang pertama membadai negara itu pada musim taufan tahun ini dan kekuatannya mengejutkan penduduk di Manila selepas pihak berkuasa kaji cuaca negara itu berkata, ia hanya akan melanda wilayah di utara ibu negara itu. - AFP

No comments:

Post a Comment