Search This Blog

Tuesday, July 20, 2010

187 ternakan rampasan dilelong




KOTA BHARU - Sebanyak 187 ternakan rampasan dilelong kepada pembida sejak enam kali ia diadakan lelongan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Kelantan dengan nilai RM154,575. 

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Zairi Serlan, berkata, daripada ternakan berkenaan, lembu paling banyak dirampas dengan jumlah 168 lembu dan ternakan lain melibatkan kerbau dan kambing. 

“Jumlah lelongan bagi lima lelongan melibatkan 168 lembu, tiga kerbau dan dua kambing dengan hasil lelongan bernilai RM142,956 dan pada lelongan pertama melibatkan 69 lembu pada 23 Mac lalu. 

“Pada hari ini (semalam), sebanyak 14 lembu terlibat dalam lelongan ini dengan nilai berjumlah RM11,619 dengan harga purata seekor lembu RM830,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan lelongan ternakan rampasan siri keenam di pekarangan JPV, Kubang Kerian, di sini, semalam. 

Beliau berkata, lelongan itu dijalankan ke atas haiwan ternakan yang lucut hak di bawah Seksyen 74 (2) Akta Binatang 1953 (semakan 2006) iaitu membawa masuk binatang (ternakan) tanpa kebenaran. 

Menurutnya, ternakan yang dirampas tersebut kebanyakannya dirampas oleh agensi penguatkuasaan di sempadan Thailand bagi aktiviti penyeludupan. 

Mohd Zairi berkata, ternakan (lembu) yang dirampas ini dipercayai diseludup dari Thailand dan ia dihantar ke JPV bagi tujuan tindakan iaitu rawatan bagi mengenal pasti penyakit berkaitan. 

“Bagaimanapun, setakat ini, sepanjang rampasan tahun ini, tidak ada lembu yang terkena penyakit termasuk penyakit kuku dan mulut (F&M) dan jika penyakit itu dikesan, pihak JPV akan melupuskannya. 

“Jika penyakit berkenaan masih boleh dirawat, ternakan tersebut akan dikuarantin untuk dirawat dan kebanyakan peraih tidak sabar menunggu waktu kuarantin selama 10 hari di Kelantan dan 10 hari Thailand bagi keselamatan ternakan, lalu menggunakan cara penyeludupan,” katanya. 

Kata Zairi, lembu yang dipercayai diseludup dari Thailand dan dihantat ke JPV termasuk jenis baka Kelantan-Kedah (KK) dan baka Charolais. 

Kata beliau, prosedur kuarantin penting memandangkan pihak JPV mempunyai 20 pusat kuarantin di sempadan Kelantan-Thailand dan peraih perlu bersabar kerana ia tidak menyusahkan mereka. 

Beliau tidak menafikan, semakin dekat musim perayaan, penyeludupan semakin meningkat dan bagi pihak jabatan (JPV), dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain di sempadan, mereka giat menjalankan rondaan. 

Katanya, peraih dinasihatkan supaya menggalakkan aktiviti penyeludupan dan usaha melelong ternakan itu dijadikan langkah untuk mengelak peraih menjalankan perjalanan tidak sah melalui sempadan negara kita. 

“JPV menasihatkan pengusaha atau peniaga atau peraih ternakan perlu mengelak untuk mengamalkan kaedah tidak sah dan menyalahi undang-undang memandangkan pihak kita ada tanggung jawab berat melindungi ternakan dalam negara,” katanya.

No comments:

Post a Comment