Search This Blog

Friday, July 16, 2010

13 rumah, 3 kandang kambing rosak dipukul ribut



Kerosakan teruk pada tiga buah kandang kambing di Institut Biodiversiti Veterinar Kebangsaan akibat dilanda ribut di Bukit Ketupat, Jerantut, kelmarin.


JERANTUT 15 Julai - Sebanyak 13 rumah di Kampung Bukit Dinding dan tiga kandang kambing di Institut Biodiversiti Veterinar Kebangsaan (IBVK), Bukit Ketupat di sini rosak teruk apabila dilanda ribut awal pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, sebuah rumah rosak teruk dihempap pokok, beberapa kediaman kehilangan atap selepas diterbangkan angin kencang manakala 200 kambing milik IBVK terpaksa dipindahkan ke kandang lain.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku dalam kejadian tersebut.
Ketua Kampung Bukit Dinding, Ahamad Kamaludin Mohd. Yunus, 60, berkata, kejadian itu merupakan kali pertama berlaku di kampung berkenaan.
''Sebanyak empat buah rumah rosak teruk manakala sembilan lagi rosak di bahagian bumbung akibat diterbangkan angin dengan anggaran keseluruhan kerugian kira-kira RM150,000," katanya di sini, hari ini.
Seorang lagi mangsa, Zulkifly Yusoh, 71, berkata, dia yang baru masuk ke bilik tidur tiba-tiba tiba-tiba terdengar dentuman kuat dan menggegarkan bumbung rumah.
''Saya dan isteri bergerak ke depan rumah apabila terdengar bunyi kuat. Tiba-tiba rumah saya bergegar dan serentak itu dahan pokok patah lalu menghempap rumah saya," katanya.
Seorang lagi mangsa, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, 40, berkata, ribut tersebut menyebabkan bumbung rumahnya diterbangkan angin kencang.
''Pakaian seragam sekolah dan buku tulis anak saya basah serta rosak. Namun bersyukur nyawa keluarga tidak terancam," katanya.
Sementara itu, operasi memindahkan 200 ekor kambing dilakukan oleh kakitangan IBVK apabila tiga buah kandang menempatkan haiwan itu rosak.
Pengarah IBVK, Zawawi Ismail berkata, kerosakan kandang berkenaan membabitkan bahagian bumbung menyebabkan kesemua baka kambing tempatan dan import kesejukan akibat hujan lebat.
''Kerosakan lain yang turut dikesan adalah setor makanan kambing yang dianggarkan jumlah keseluruhan kerugian adalah RM40,000," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee mengadakan lawatan mengejut dan menyerahkan bantuan segera kepada mangsa terlibat.

No comments:

Post a Comment