Search This Blog

Sunday, July 11, 2010

10,792 kes denggi di Selangor

KAJANG: Selangor mencatat kes tertinggi demam denggi iaitu 10,792 kes dengan 34 kematian. Daripada jumlah itu, 3,088 kes dikenal pasti di Hulu Langat dan 36 kes di Taman Kajang Mewah, Kajang.
Lebih membimbangkan, bermula Januari hingga Julai tahun ini 24, 512 kes demam denggi dengan 81 kematian dilaporkan di seluruh negara berbanding 25,234 kes dengan 62 kematian pada tahun lalu.
Berdasarkan jumlah itu peningkatan sebanyak 31 peratus dilaporkan di negeri yang mempunyai kepadatan penduduk iaitu Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menteri Kesihatan, Datuk Sri Liow Tiong Lai berkata, secara keseluruhan dua kawasan panas itu menyumbang 52 peratus kes bagi tiga tahun berturut-turut bermula 2007 hingga 2009.

“Saya berpendapat kes ini boleh dikurangkan jika semua rakyat mengamalkan sikap positif ke arah memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di tempat tinggal serta persekitaran mereka.

“Mencari dan memusnah tempat pembiakan nyamuk Aedes setiap minggu adalah langkah paling efektif menghindar denggi,” katanya kepada media selepas merasmikan program Gotong Royong Perdana Jom Ganyang Aedes peringkat kebangsaan, di sini, semalam.

Turut hadir, ikon Anti Denggi Kementerian Kesihatan, Aznil Nawawi.

Beliau berkata, masyarakat perlu berusaha menghalang penularan jangkitan demam denggi dengan menyertai program Combi (Communication for Behavioural Impact).

Melalui program ini, katanya, sukarelawan akan dipilih di kalangan penduduk setempat untuk membantu Jabatan Kesihatan melaksanakan aktiviti pencegahan seperti menasihati penduduk untuk mendapatkan rawatan segera di klinik berhampiran serta mengingatkan mereka untuk membuat pemeriksaan dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

No comments:

Post a Comment