Search This Blog

Saturday, June 26, 2010

Zahid anggap 'ragging' perbuatan jahiliah




2010/06/26

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kematian Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri, 16, yang dikaitkan dengan kejadian dera dan buli adalah satu tindakan jahiliah. 

Katanya, kejadian ‘ragging’ pelajar junior tidak seharusnya berlaku di mana-mana sekolah, khususnya di sekolah tentera dan pelakunya mesti dikenakan hukuman berat.

“Kementerian memandang serius perbuatan zaman jahiliah ini. Tindakan tegas akan dikenakan terhadap pelajar terbabit selepas siasatan siap sepenuhnya dan mereka akan dihadapkan ke mahkamah tentera selain mengikut undang-undang sivil.

“Berulang kali saya tegaskan supaya jangan jadikan buli sebagai satu budaya kerana ia adalah perkara yang tidak sihat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Perladangan Kawasan Bagan Datoh di sini, semalam. 

Zahid turut menafikan dakwaan pihaknya lambat bertindak dalam menangani kejadian itu, sebaliknya beliau berkata kementerian menubuhkan lembaga siasatan sejurus dimaklumkan mengenainya. 

“Kejadian itu berlaku tengah malam semalam (kelmarin) dan kita menjalankan siasatan serta mengambil tindakan secepat mungkin termasuk menghulurkan bantuan penerbangan ehsan membawa jenazah pulang ke kampung halamannya,” katanya. 

Dalam kejadian jam 2 pagi kelmarin, Muhammad Naim pengsan selepas dikatakan dibuli oleh sekumpulan lima pelajar senior di bilik asramanya dan meninggal dunia sebaik tiba di Pusat Perubatan Angkatan Tentera Malaysia (PPATM) Kem Perdana Sungai Besi sebelum mayatnya dipindahkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat. 
Jenazah Allahyarham kemudian diterbangkan ke kampungnya di Baling, Kedah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Siong. 

No comments:

Post a Comment