Search This Blog

Saturday, June 26, 2010

Tubuh penuh kesan tikam

15/7
NGERI...anggota polis mengusung mayat pasangan warga emas yang dibunuh.
NGERI…anggota polis mengusung mayat pasangan warga emas yang dibunuh.
SIMPANG RENGGAM: Kegusaran seorang akauntan apabila mendapati pintu besi kedai emas tempat dia bekerja terletak kira-kira 60 meter dari balai polis di sini, hanya separuh terbuka terjawab apabila mendapati majikannya yang juga sepasang suami isteri warga emas dibunuh kejam dengan tubuh dipenuhi kesan tikaman.
Akauntan berkenaan tiba di kedai berkenaan kira-kira jam 11 pagi, tetapi mendapati hanya separuh pintu besi keselamatan terbuka. Bimbang sesuatu buruk berlaku, dia terus menghubungi seorang anak pasangan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Fawzi Arshad berkata, kebiasaannya mangsa akan memulakan perniagaan jam 9 pagi, tetapi semalam, pasangan berkenaan tidak berbuat demikian.
Sejurus menerima panggilan daripada akauntan berkenaan, anak mangsa terus menghubungi kenalannya yang berniaga kain bersebelahan kedai emas itu untuk memeriksa keadaan ibu bapanya.
Kenalannya terus ke bahagian belakang kedai emas itu dan mendapati pintu bahagian berkenaan tidak berkunci. Syak sesuatu yang buruk berlaku, dia terus menghubungi polis, katanya pada sidang media di Balai Polis Simpang Renggam, malam tadi.
Polis yang tiba kira-kira jam 2.45 petang menemui mayat mangsa dikenali sebagai Lau Chong Hock dan Ng Liang Eng, kedua-duanya berusia 69 tahun di tingkat dua dan tiga premis rumah kedai berkenaan.
Kedua-duanya ditemui dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah dengan tikaman bertubi-tubi di bahagian tubuh. Pasangan itu dipercayai dibunuh antara jam 9.30 pagi hingga 1 tengah hari.
Pasangan berkenaan dibunuh di tingkat dua dan tiga, mereka mungkin dibunuh secara berasingan. Siasatan awal mendapati suspek berkemungkinan dikenali mangsa berdasarkan ketiadaan kesan pecah masuk, katanya.
Selain itu, polis menolak pembunuhan bermotifkan rompakan atau samun kerana barangan kemas serta peti besi menyimpan wang tunai langsung tidak disentuh suspek.
Mohd Fawzi berkata, pasangan itu tinggal di premis tiga tingkat berkenaan dan tingkat bawah kedai emas, tingkat dua pula tempat simpanan manakala tingkat atas dijadikan kediaman.
Anak mangsa pula tiada yang tinggal di sana kerana masing-masing bekerja di tempat lain termasuk di luar negara. Setakat ini, tiada senjata digunakan dalam pembunuhan itu ditemui.
Siasatan kini menjurus kepada mengesan beberapa suspek dipercayai dapat membantu siasatan selain menyiasat motif pembunuhan terbabit, katanya.
Menegaskan ia adalah pembunuhan kejam, Mohd Fawzi berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan individu terakhir berurusan dengan mangsa supaya menghubungi polis untuk membantu siasatan.
Pembunuhan itu zalim dan ganas. Kita boleh lihat berdasarkan kesan tikaman pada tubuh mangsa. Oleh itu, polis berharap sesiapa yang mempunyai maklumat tampil kerana penjenayah terbabit tidak boleh dibiarkan terlepas begitu saja, katanya.
Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment