Search This Blog

Thursday, June 10, 2010

Tiga pam minyak disita KPDNKK

TUMPAT: Akibat bersekongkol dengan penyeludup, pemilik sebuah stesen menerima padah apabila tiga pam minyak di stesennya di Wakaf Bharu, di sini, disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), semalam.
Berikutan itu, KPDNKK merampas lebih 13,000 liter diesel yang dianggarkan bernilai RM23,400 daripada stesen minyak berkenaan.
Difahamkan, tindakan itu dikenakan terhadap pemilik stesen selepas operasi bersepadu yang dilakukan dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira jam 4 pagi semalam, menahan seorang lelaki berusia 35 tahun berasal dari Kampung Simpangan, Tumpat yang disyaki terbabit dengan kegiatan penyeludupan bahan bakar itu.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 9, PGA, Deputi Superintendan Mohamad Latip berkata, ketika serbuan lelaki terbabit sedang mengisi diesel ke dalam tangki yang ditempatkan di bahagian tempat duduk belakang.

Beliau berkata, menyedari kehadiran pasukannya, lelaki terbabit cuba melarikan diri, tetapi sempat ditahan untuk pemeriksaan.

“Ketika pemeriksaan dilakukan di dalam kereta terbabit, kami mendapati ada dua tangki besar di bahagian tempat duduk belakang dan satu tangki sedang diisi dengan diesel.

“Kami membuat semakan dan mendapati lelaki terbabit sudah mengisi hampir 283 liter dengan nilai hampir RM500,” katanya.

Mohamad berkata, berikutan rampasan itu, pihaknya dengan kerjasama KPDNKK bertindak menyita tiga pam diesel selain merampas semua diesel yang berada di dalam tangki besar untuk tindakan lanjut.

No comments:

Post a Comment