Search This Blog

Friday, June 11, 2010

Terlepas pautan

KUALA TERENGGANU: “Saya sempat memaut lehernya, tetapi terlepas kerana saya juga hampir lemas disebabkan arus kuat dan akhirnya dia terus dibawa ke tengah laut sebelum tenggelam,” kata Azman Ali, 35, bapa kanak-kanak lelaki yang ditemui lemas di pantai Batu Rakit, dekat Kampung Pak Tuyu, Menggabang Telipot, semalam.
Mangsa, Mohd Ashraf Azman, 8, murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Tanjung Gelam lemas ketika mandi bersama sepupunya di alur berdekatan pantai berkenaan sebelum cuba diselamatkan bapanya.
Menceritakan kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Azman berkata, dia dimaklumkan anak saudaranya, Mohd Kamal Alias, 14, yang arwah anaknya dibawa arus sebelum melihat mangsa sudah beberapa meter dari pantai sebelum terjun untuk menyelamatkannya.

“Ketika itu, saya berada berhampiran pantai sebaik dimaklumkan anak dibawa arus dan melihat dia terkapai-kapai sebelum terjun dan memaut lehernya, tetapi pautan itu terlepas kerana arus terlalu kuat,” katanya.

Menurutnya, Mohd Ashraf, anak kedua daripada empat beradik dan mereka sekeluarga berada di pantai berkenaan untuk bersiar-siar.

“Saya kecewa kerana pautan saya ketika itu menjadi sentuhan terakhir yang memutuskan hubungan kami dua beranak,” katanya.

Ibu mangsa, Rubiah Jusuh, 36, berkata arwah menunjukkan tanda pelik sejak semalam kerana lebih manja dan rajin membantunya mengemas rumah walaupun tidak diminta berbuat demikian.

No comments:

Post a Comment