Search This Blog

Saturday, June 26, 2010

Tak diizin periksa tubuh


15/7
BALING: Saya dapati ada kesan lebam di bahagian mata kanan arwah ketika mengucupnya buat kali terakhir. Saya juga meminta untuk memeriksa seluruh badannya, tetapi tidak dibenarkan wakil Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang hadir mengiringi jenazah ketika itu, kata Mohd Sobri Mohd Sofian, 41, bapa kepada Mohammad Naim Mustaqim, 16, pelajar tingkatan empat Maktab Tentera Diraja (MTD) yang mati dipercayai akibat dibuli dan didera pelajar senior, kelmarin.
Menurutnya, dia terpaksa akur dengan keputusan wakil ATM yang tidak membenarkannya memeriksa badan arwah anaknya itu.
Mereka kata ikut prosedur tak boleh sebab arwah sudah dikapan dan mereka hanya membenarkan bahagian muka saja dibuka untuk kami menatap wajahnya kali terakhir.
Saya tidak membantah, tetapi mendapati ada kesan lebam di mata kanan arwah ketika mengucupnya kali terakhir.
Saya mahu mereka yang bertanggungjawab memukul anak saya dibawa ke muka pengadilan, katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Lalang, Siong di sini, semalam.
Katanya, dia dan keluarga menerima kejadian itu sebagai takdir, namun kematian Mohammad Naim tetap memerlukan pembelaan bagi memberi teladan kepada orang lain yang mungkin menerima nasib sama pada masa depan.
Arwah adalah anak harapan saya untuk membantu keluarga kami pada masa depan, namun hari ini (semalam) harapan itu hancur berkecai. Sukar bagi saya menerima kejadian itu yang menyebabkan kehilangannya buat selama-lamanya.
Saya sentiasa impikan satu hari nanti arwah akan pulang ke rumah dengan pakaian seragam seorang pegawai tentera dan berharap dia akan membantu kami dan adik-adik lain untuk berjaya sepertinya, katanya Harian Metro semalam melaporkan seorang pelajar tingkatan empat MTD meninggal dunia di Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT), Kem Sungai Besi di sini, awal pagi kelmarin dipercayai akibat dibuli dan didera pelajar senior.
Mohammad Naim Mustaqim dikatakan pengsan selepas didera kumpulan pelajar senior terbabit antara jam 11.30 pagi kelmarin dan 1.20 pagi semalam di asrama MTD sebelum dikejarkan ke PPAT, namun disahkan meninggal dunia.
Sementara itu, ibu mangsa, Fauziah Abdul Wahab, 45, berkata kali terakhir berjumpa arwah ketika anaknya itu pulang ke rumah sempena cuti sekolah seminggu lalu.
Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment