Search This Blog

Wednesday, June 16, 2010

SPRM tahan 4 termasuk warga Nigeria disyaki minta rasuah

PULAU PINANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat termasuk dua wanita dan seorang warga Nigeria berusia 24 tahun kerana dipercayai terbabit dengan sindiket meminta rasuah.
Pengarah SPRM negeri, Datuk Latifah Md Yatim berkata, pihaknya menahan dua suspek pada Mac lalu di Kuala Lumpur dan dua lagi di sini, hari ini.
"Kes ini masih lagi dalam siasatan, modus operandi kes ini ialah dengan memperdaya mangsa menerusi ruang sembang di laman sesawang seperti facebook, e-mel dan Internet.

"Suspek warga Nigeria ini akan menyamar sebagai seorang wanita, menggoda mangsa sehingga percaya akan kewujudannya dan sanggup buat apa saja," katanya kepada pemberita di sini.

Latifah berkata, tiga lagi yang ditahan mempunyai ikatan kekeluargaan iaitu ibu berusia 48 tahun, anak perempuan dan menantunya, masing-masing berusia 24 dan 25 tahun.

Mangsa seorang lelaki berusia 50 tahun, asal dari Pulau Pinang, diminta memasukkan RM5,000 dalam akaun seorang pegawai kastam bagi melepaskan kekasihnya yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana gagal mengisytiharkan wang sebanyak $50,000 pound yang dibawa.

"Mangsa yang percaya telah memasukkan wang tersebut tetapi kekasihnya masih gagal ditemui, setelah mendapati ada unsur penipuan, mangsa bekerjasama dengan SPRM apabila suspek meminta RM3,000 pada kali kedua," katanya.

Bagaimanapun, sindiket yang didalangi warga Nigeria itu gagal memperoleh wang itu kerana akaun milik seorang daripada suspek telah disekat.

Latifah berkata, semua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16a(A) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan.-Bernama

No comments:

Post a Comment