Search This Blog

Tuesday, June 29, 2010

Sindiket pemerdagangan orang berpengkalan di Delhi tumpas

NEW DELHI: Polis India membongkar kegiatan sindiket pemerdagangan orang berpangkalan di Delhi yang memalsukan visa Malaysia dan Singapura, bagi menghantar pelanggan mereka ke Amerika Syarikat (AS), melalui negara-negara Amerika Latin.
Sindiket itu, yang didalangi tiga ejen pelancongan, memalsukan pasport dan memperoleh visa Malaysia dan Singapura yang palsu untuk pelanggan mereka, kebanyakannya rakyat India dan Nepal, yang ingin memasuki AS secara haram.
Cawangan jenayah polis Delhi menahan tiga orang -- Manoj Panday, 35; Mohan Lal, 46; dan Jitender Mohan, 49, dalam serbuan di ibu negara India minggu lalu hasil maklumat bahawa agensi pelancongan di Delhi dan Punjab terbabit dalam kegiatan itu.

"Kumpulan itu akan mendapatkan visa negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia dan Singapura untuk pelanggan mereka, selepas memalsukan pasport dan dokumen mereka bagi meningkatkan profil peribadi dan kewangan mereka," kata pesuruhjaya tambahan (jenayah) polis Delhi Neeraj Thakur, lapor Times of India.

Berdasarkan bukti yang diperoleh pasukan polis Delhi, kumpulan itu dipercayai menghantar sekurang-kurangnya 100 orang ke AS tahun ini, menggunakan modus operandi yang sama.

"Pelanggan mereka akan ke negara-negara seperti Ecuador, Guatemala dan Mexico, yang menawarkan kemudahan visa ketika ketibaan dan selepas itu kumpulan di negara terbabit akan membantu mereka memasuki AS," kata akhbar itu.

Pelbagai barangan, termasuk 152 pasport, yang digunakan suspek dirampas dari pejabat mereka di Delhi.

Kemasukan secara haram ke AS dikenakan bayaran hampir RM180,000 seorang.

-Bernama

No comments:

Post a Comment