Search This Blog

Monday, June 21, 2010

Sindiket pelaburan kebas duit



SEREMBAN – Dengan bertopengkan skim pelaburan berasaskan projek ternakan lintah, seorang lelaki dan anaknya berjaya memperdayakan kira-kira 3,000 mangsa di seluruh negara serta membawa lari wang tunai dianggarkan RM40 juta. 

Lelaki terbabit, 50an, dan anaknya berumur sekitar 20an dipercayai mengaburi mata mangsa dengan menjanjikan pulangan berlipat ganda nilai pelaburan dalam tempoh enam bulan. 

Skim pelaburan putar alam itu dikendalikan menerusi sebuah syarikat beroperasi awal 2008 hingga tahun lalu dan mempunyai ibu pejabat di bandar ini, selain beberapa cawangan di negeri lain. 

Akibat kegiatan penipuan itu, mangsa melibatkan masyarakat pelbagai kaum termasuk orang kenamaan mengalami kerugian antara RM5,000 hingga RM1.5 juta. 

Seorang mangsa, Mohamad Halim Husnan, 40, dari Seremban, berkata, ramai yang terpedaya kerana publisiti meluas skim itu di sebuah akhbar pada awal 2008. 

“Syarikat terbabit menjanjikan pulangan kira-kira RM12,500 bagi setiap RM5,000 dilaburkan selepas enam bulan bagi projek menternak lintah. Lebih banyak jumlah dilaburkan, lebih tinggi nilai pulangan. 

“Pada dua bulan pertama, memang ada pelabur yang mendapat sedikit pulangan. Namun, bagi bulan-bulan berikutnya, kami tidak menerima walau satu sen pun,” katanya ketika ditemui selepas majlis perjumpaan kira-kira 150 mangsa penipuan skim berkenaan di Rasah dekat sini, semalam. 

Dia yang mempengerusikan majlis perjumpaan itu berkata, pelabur mengesyaki ditipu cuba meminta wang dikembalikan, tetapi gagal kerana syarikat didapati tidak beroperasi dan pejabatnya disita. 

Kata Mohamad Halim, dua lelaki terbabit dan semua ahli keluarga mereka tidak dapat dikesan serta terdapat kemungkinan mereka melarikan diri ke luar negara. 

Beliau mendakwa, kegiatan penipuan itu dilaporkan kepada pihak berkuasa, tetapi sehingga kini, semua mangsa tidak pasti tentang tindakan susulan diambil. 

“Pada perjumpaan hari ini (semalam), kami sepakat untuk mengemukakan memorandum kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob di Parlimen, 30 Jun ini. 

“Selain itu, kami akan melantik peguam supaya tindakan undang-undang diambil terhadap semua pemilik syarikat berkenaan,” katanya. 

Mohamad Halim yang kerugian RM20,000 berkata, dipercayai masih ramai mangsa penipuan skim pelaburan ternakan lintah itu belum tampil membuat laporan dan meminta mereka menghubunginya di talian 012-3848840. 

Sementara itu, mangsa, S Magindran, 45, dari Rawang, Selangor, berkata, dia dan dua rakannya menyertai skim terbabit untuk menambah pendapatan. 

Bagaimanapun, kata Magindran, hasrat itu tidak kesampaian malah menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM10,000.

No comments:

Post a Comment